GOLONGAN pempengaruh media sosial khususnya generasi muda dinasihatkan tidak menghasilkan kandungan kerana mampu memberi impak buruk kepada masyarakat sekali gus menjejaskan imej sendiri.
Menurut Pengerusi All Star Influencer (ASIA), Datuk Abd. Rahman Soltan, golongan pempengaruh seharusnya menggunakan populariti dimiliki untuk mengajak masyarakat ke arah lebih positif dan memberi teladan baik kepada umum.
“Pempengaruh di bawah komuniti ASIA sentiasa dinasihatkan untuk tidak menghasilkan kandungan toksik. Mungkin konten itu lawak tetapi, bila ada ‘haters’, mereka mungkin tidak dapat kawal situasi nanti.
“Kami sentiasa terapkan nilai positif dan beri mereka peluang untuk turut serta dalam pelbagai program melibatkan masyarakat anjuran ASIA. Ini penting untuk mereka sedar pengaruh dan kepentingan mereka kepada pengikut.
“Apa yang dipaparkan oleh mereka dalam media sosial akan menjadi ikutan. Sebab itu kita perlu tunjuk contoh yang baik, pegang prinsip persefahaman antara satu sama lain untuk eratkan hubungan bersama,” katanya.
Dia yang ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa ASIA bersama anak yatim dan tahfiz baru-baru ini menegaskan penglibatan pempengaruh dalam dunia perniagaan adalah penting sebagai langkah awal untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa akan datang.
“Jangan terlalu selesa dengan muat naik kandungan reviu produk semata-mata. Satu masa nanti, lebih ramai pempengaruh muda akan hadir.
“Sebab itu kami memberi bimbingan dan sokongan kepada mana-mana pempengaruh yang mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan. Sekurang-kurangnya mereka sudah ada perancangan,” katanya lagi. – HIBGLAM