Hey U ruang Adam E, Kat Roshan berangan

SANGGUP terbang ke Paris, Perancis demi merealisasikan video muzik (MV) lagu baharu, penyanyi Adam E menganggap latar kota romantis mampu menyempurnakan terjemahan kisah cinta dalam Hey U.

Dendangan dibawakan bersama rakan seperjuangan, Kat Roshan itu berkisarkan percintaan, namun hubungan kecundang akibat sikap curang si lelaki.

Menyifatkan pengalaman penggambaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan, pembikinan MV berkenaan juga mencabar kerana mereka perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantas.

“Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk merakam video muzik ini, jadi semuanya terasa spontan.

Pada masa sama, saya berhadapan sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi syukur tetap berjaya menghabiskan penggambaran,” kata Adam E atau nama sebenar Adam Eiman Mohd Shukri, 27.

Putera tunggal kepada penyanyi senior, Datuk Hattan itu turut menjelaskan, video muzik Hey U diarahkan Tobias Nash, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Kat Roshan dalam MV lagu I’m A Rebel.

ADAM menganggap proses pengkaryaan sebagai satu cara berangan yang bermanfaat.

Bukan kisah sendiri

Menyentuh mengenai lirik yang memaparkan kecurangan sebagai jalan cerita, seni kata tulisan Asyraf Nasir dan Radityo serta Jayson Teoh sebagai penerbit tersebut bukan bersandarkan kisah hidupnya.

Lagu Hey U ini tiada kena mengena dengan kisah saya tapi bagi saya lagu adalah ruangan untuk saya berangan. Saya boleh cakap apa sahaja tetapi tidak bermakna saya maksudkan benda itu,” kongsinya.

Sementara itu, Kat Roshan atau nama lengkapnya Katrina Cheng Roshan berkata dendangan tersebut turut mengupas tarikan dan ketahanan dalam hubungan yang penuh ketidaktentuan.

Saya menyampaikan lirik yang mencerminkan kekecewaan dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi masih belum mampu melepaskannya,” katanya.

Kat turut menyifatkan kolaborasi bersama Adam E sebagai pilihan yang tepat, memandangkan suara Adam E dilihat sangat serasi dengan genre lagu.

Adam E lama dalam industri dan dikenali, jadi dengan kolaborasi ini saya juga dapat mencuba genre berbeza. Sebelum ini saya selesa dengan balada dan kini mahu cuba genre seperti pop dan sebagainya,” tambahnya.

Hey U kini boleh dinikmati menerusi platform penstriman digital dan YouTube. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok