KISAH cinta pempengaruh Ameera Khan dan aktor Indonesia, Jefri Nichol kembali mencuri perhatian selepas dia berkongsi tangkap layar panggilan WhatsApp bersama kekasihnya itu yang berlangsung lebih 12 jam pada satu ketika yang tidak dinyatakan.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Ameera atau nama lengkapnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, memuat naik beberapa keping foto ketika berada di kota Paris.
“Panggilan dan perbualan pendek kami,” tulisnya ringkas.
Seperti biasa, perkongsian terbabit pantas mengundang pelbagai reaksi netizen malah ada yang menyifatkan mereka sebagai kemaruk cinta.
Sikap Ameera dan Jefri yang seolah-olah tidak boleh berenggang meskipun berada di dua negara berbeza membuatkan ramai berasa hairan, malah ada yang mempersoalkan ketaksuban mereka dalam bercinta.
“Bercinta boleh, tapi jangan sampai terlalu taksub,” kata netizen.
“Orang bercinta biasa pun tak sampai 12 jam telefon, ini dah tahap kemaruk,” tulis pengguna media sosial.
“Macam dunia ini mereka berdua saja, kakak sibuk khatam al-Quran, adik gedik berbual dengan jantan,” komen netizen lain.
Meskipin ramai mengecam, ada juga peminat yang mempertahankan mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai perkara biasa bagi pasangan bercinta jarak jauh atau long distance relationship (LDR).
“Duduk jauh, ini je cara nak lepas rindu. Siapa pernah LDR mesti faham, kadang telefon sampai tertidur,” ujar seorang peminat.
Adik kepada selebriti Neelofa itu pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Jefri namun dikhabarkan putus sekitar Oktober 2021 selepas masing-masing tidak lagi megikuti antara satu sama lain dalam Instagram.
Bagaimanapun, pada penghujung Mac tahun lalu, percintaan mereka kembali bertaut dan sejak itu, kedua-duanya dilihat lebih terbuka berkongsi momen romantis di media sosial.– HIBGLAM.