Sandra Lim bukti hidup semangat ‘naga’

BAGAIKAN daun yang gugur demi memberi ruang kepada tunas baharu, Tahun Baru Cina sentiasa menjadi detik istimewa buat masyarakat Tionghoa untuk merenung kembali perjalanan hidup sambil melakar harapan mendatang.

Bagi ratu cantik, Sandra Lim, perayaan penuh warna-warni itu bukan sekadar waktu menyusun hidangan Yee Sang atau menghias rumah dengan angpau merah, tetapi juga peluang untuk melepaskan yang lama dan menyambut masa depan dengan lebih yakin.

Tahun Baharu Cina bagi saya lebih daripada sekadar perayaan. Ia adalah simbol peluang baharu, masa untuk memulakan langkah dengan semangat yang segar.

“Tahun ini, lebih istimewa kerana saya memikul tanggungjawab besar sebagai Miss Universe Malaysia 2024,” katanya kepada HibGlam.

Kelahiran Tahun Naga bukan hanya memberi makna dalam hidupnya, malah membentuk keperibadiannya sebagai seorang wanita yang cekal, penuh keyakinan dan bercita-cita tinggi.

Dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2024, Sandra berbangga berjaya membawa nama negara ke pentas Miss Universe di Mexico, sekali gus mencipta sejarah baharu buat Malaysia.

Sebagai wanita kelahiran Tahun Naga, saya sentiasa percaya simbol ini melambangkan keberanian dan kekuatan.

“Semua itu menjadi inspirasi untuk saya terus maju, bukan sahaja sebagai seorang ratu cantik, tetapi juga sebagai individu yang ingin memberi impak positif kepada dunia,” tambahnya lagi.

SANDRA pernah bergelar pelajar terbaik atau valedictorian sekalibgus diberi peluang untuk menyampaikan ucapan ketika hari konvokesyen.

Namun, di sebalik keindahan mahkota dan sorotan kamera, pemilik nama penuh Sandra Lim Shue Hui itu tetap berpaut kepada akar tradisinya.

Tahun Baru Cina, yang menyatukan nilai kekeluargaan dan warisan budaya, menjadi asas kepada setiap kejayaan yang diraih.

Baginya, nilai kekeluargaan itu sentiasa menjadi keutamaan walaupun kehidupannya kini bergelumang dengan dunia glamor.

“Kami sekeluarga mempunyai tradisi unik iaitu menyediakan Yee Sang bersama-sama. Proses ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendekatkan kami sebagai keluarga.

“Hidangan itu kemudian dinikmati sambil berkongsi cerita dan impian untuk tahun baharu. Walaupun saya sibuk, saya akan pastikan tradisi ini kekal dilakukan,” tuturnya.

Pun begitu, wanita tinggi lampai itu mengakui sambutan Tahun Baru Cina kini memberi makna berbeza berbanding zaman kanak-kanaknya.

Dulu, saya teruja dengan angpau dan bermain dengan sepupu-sepupu. Tetapi sekarang, saya lebih menghargai nilai kekeluargaan dan bagaimana tradisi ini membentuk identiti saya.

“Itu semua mengajar saya untuk tidak lupa asal usul walaupun saya kini berada di pentas antarabangsa,” jelasnya.

Berpasak pada junjungan tradisi, gadis berusia 25 tahun itu percaya tahun mengikut kalander Cina tidak sekadar mitos, tetapi cerminan sifat keberanian dan kebijaksanaan.

Pun begitu, dia juga percaya bahawa simbol tahun ini, Tahun Ular, bakal memberi warna baharu dalam hidupnya.

Naga adalah simbol kekuatan dan keyakinan. Sebagai Miss Universe Malaysia, saya membawa semangat ini dalam setiap langkah saya.

“Tahun Naga juga adalah tahun kejayaan saya, dan saya yakin itu akan terus membawa tuah pada masa depan.

“Tahun ini pula Tahun Ular melambangkan ketekunan dan kesabaran. Saya yakin, dengan nilai ini, saya akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, termasuk di pentas Miss Universe nanti,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok