Setahun kes kami berlarutan, anak bongsu dah 5 tahun – Adira

HAMPIR setahun kes pengesahan lafaz rujuk berlarutan, penyanyi Adira Suhaimi hanya mengharapkan prosiding berkenaan berjalan lancar dan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 35, berkata tempoh panjang berdepan kes berkenaan sedikit sebanyak membuatkannya berharap kemelut terbabit menemui titik noktah dalam masa terdekat.

“Semoga kes ini berjalan dengan lancar dan mudah-mudahan dapat diselesaikan dengan cepat. Saya rasa sudah hampir setahun kes ini berlarutan.

“Anak saya paling bongsu pun sudah masuk usia lima tahun,” katanya kepada HibGlam.

Adira hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di sini hari ini bagi prosiding pengesahan lafaz rujuk difailkan usahawan, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red terhadapnya.

Turut hadir abang kandung Adira, Nor Azalin, bagi membantu sebagai saksi dalam prosiding berkenaan.

Adira juga ditemani dua peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie dan Nor Saidah Zakaria.

Selang beberapa minit kemudian, Datuk Red turut tiba di mahkamah sebelum terus menuju ke bilik persidangan bagi mengikuti prosiding.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 3 September sebagai tarikh sambungan prosiding bagi mendengar keterangan lanjut daripada Adira selaku defendan.

Hakim Syarie, Afif Sofiuddin Syeikh Abd. Ghani menetapkan tarikh berkenaan selepas prosiding terdahulu ditangguhkan.

Pada 25 Jun lalu, mahkamah menolak permohonan penarikan balik kes pengesahan lafaz rujuk selepas Adnan memohon untuk menarik semula kes terbabit terhadap bekas isterinya.

Sebelum itu, prosiding pengesahan lafaz rujuk berlangsung pada 23 April sebelum ditangguhkan ke 25 Jun.

Kes tersebut difailkan Datuk Red pada 18 Disember lalu apabila mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika masih dalam tempoh idah selepas perceraian.

Bagaimanapun, Adira sebelum ini tidak mengesahkan berlaku lafaz rujuk berkenaan, malah mengakui terkejut dengan tindakan bekas suaminya membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Untuk rekod, Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015 sebelum pasangan itu bercerai pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 9, Asan, 7, Anggun, 6, dan Ayob, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok