Jihan timang hero ketiga, Ungku Attufayl Adl

AHLI keluarga bertambah, pengacara Jihan Muse selamat menimang cahaya mata ketiga yang diberikan nama Ungku Attufayl Adl.

Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Ungku Hariz Faizal yang memaklumkan Jihan atau nama lengkapnya, Nur Jihan Musa, 41, melahirkan putera mereka, kelmarin.

Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan anak ketiga kami iaitu bayi lelaki yang diberi nama Ungku Attufayl Adl,” tulisnya dalam perkongsian Instagram.

Menerusi ruangan komen, Jihan menyatakan At-Tufayl adalah nama salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W dan Adl adalah salah satu nama Allah dalam Asmaul Husna.

At-Tufayl adalah nama salah seorang sahabat baginda Rasulullah S.A.W dan Adl adalah salah satu nama Allah dari Asmaul Husna,” katanya.

Perkongsian Ungku Hariz mendapat perhatian peminat dan rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada pasangan terbabit

Antaranya pelakon Erra Fazira, Sharifah Amani, Mona Allen, Sharifah Shahirah serta Catriona Ross.

Alhamdulillah. Tahniah buat Jihan dan Ungku Hariz. Moga anakanda menjadi anak yang soleh. Selamat berpantang Jihan,” kata aktres Erra Fazira.

“Tahniah, Alhamdulillah,” komen penyampai radio, Sharifah Shahirah.

Sebelum ini, hos Gegar Vaganza (GV) itu memaklumkan akan berehat seketika bagi membuat persiapan menyambut kelahiran bayinya.

Pengacara Sherry Alhadad menggantikan tempatnya pada konsert kelima GV musim 11 (GV11).

Terdahulu, Jihan dan Ungku Hariz yang mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2016 dikurniakan dua zuriat iaitu Ungku Arsalan Haq dan Ungku Altamis Barr. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok