BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diraikan ratusan peminat di Bukit Bintang sempena ulang tahun kelahiran yang ke-46, semalam.
Momen indah itu dikongsikan anak tirinya, Asyraf Khalid menerusi Instagram, menunjukkan kehadiran ramai peminat yang berhimpun sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.
Suasana malam minggu yang sentiasa sibuk di kawasan segi tiga emas itu bertambah meriah apabila peminat berkerumun memberi penghormatan kepada idola kesayangan mereka.
Lebih istimewa, sebuah paparan skrin gergasi di Bukit Bintang mempamerkan kompilasi perjalanan seni pemilik nama sebenar Siti Nurhaliza Tarudin itu.
Paparan itu turut disertakan ucapan kasih dan penghargaan daripada kelab peminat setianya, SitiZoners.
Momen itu kemudiannya tular, sekali gus mencetuskan gelombang pujian terhadap penyanyi tersohor berkenaan yang kekal relevan dan sentiasa membumi meskipun lebih dua dekad mencipta nama dalam industri seni.
Beliau adalah simbol dedikasi, bakat, dan kerendahan hati. Ratu ini bukan sekadar di pentas tetapi di hati semua peminat,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Selamat hari jadi Datuk Seri Siti. Semoga terus bersinar sebagai inspirasi kepada kita semua!,” tambah seorang lagi peminat.
Terdahulu, Siti dikenali bukan sahaja sebagai penyanyi bahkan seorang ikon serba boleh yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Sambutan ulang tahun itu sekali lagi membuktikan beliau kekal menjadi permata seni negara yang tidak ternilai. – HIBGLAM