‘Umur 51, sudah bau tanah baru nak ada kelab peminat sendiri’

 “Terkejut, umur 51 tahun dan sudah bau-bau tanah tetapi baru ada kelab peminat sendiri.”

Itu reaksi pelakon, Zila Bakarin yang tidak menyangka akan memiliki kelab peminat selepas tiga dekad bergelar anak seni.

Menurut pemilik nama penuh Rosmawati Bakarin itu, pada awalnya dia menganggap perkara tersebut melucukan, malah sukar menerima hakikat dia mempunyai peminat, terutama selepas diumumkan menyertai Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26).

“Memang terkejutlah sebab ada kelab peminat yang berpunca apabila seorang individu menyuarakan hasrat untuk menubuhkannya. Ketika ini, sudah disertai hampir 300 orang.

“Sepanjang tempoh saya berlakon dan jadi artis, saya tak ada langsung kelab peminat.

“Sebab itu saya cakap, umur pun tinggal berapa takuk lagi dan sudah bau tanah tetapi ada kelab peminat, bukankah itu kelakar?” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu pertama KES26 di sini semalam.

Berkongsi lanjut mengenai kelab peminat, Zila berkata, nama Gozzila diinspirasikan daripada perkataan Godzilla, iaitu watak raksasa terkenal dari Jepun.

“Saya peminat Godzilla. Kemudian, tidak lama selepas itu, ada individu dalam Threads mencadangkan nama tersebut untuk kelab peminat. Namun, selepas banyak kali berbincang, kami ubah menjadi Gozzila.

“Kekok dan kelakar. Sebelum ini, orang hanya tegur ‘Hai, Kak Zila’ atau tidak kenal nama pun bila jumpa di luar, tetapi sekarang tiba-tiba ada kelab peminat. Memang kelakar,” katanya yang diberikan julukan Ratu Threads.

Dalam pada itu, dia menerima setiap pujian orang ramai mengenai vokalnya dan dikatakan mampu menyanyi dengan baik seperti penyanyi sebenar.

“Ini pertandingan nyanyian, jadi pastilah nak tunjuk sedikit kemampuan menyanyi walaupun tidak begitu hebat.

“Saya nak jugalah tunjuk kemampuan vokal sendiri walaupun tidaklah sedap mana. Bolehlah dengar selagi orang tak tutup telinga.

“Semua peserta bukan penyanyi kecuali Datuk Ahmad Tamimi Siregar. Dia macam budak kelas depan, sementara saya, Amyza Aznan dan Fazlina Ahmad Daud pula budak kelas belakang,” jelasnya.

Semalam, tiada penyingkiran diumumkan pada konsert pertama KES26, sekali gus membolehkan kesemua 10 peserta melangkah ke minggu kedua.

Kesemua 10 peserta tersebut ialah Zila, Ahmad Tamimi, Amyza, Fazlina, Kathy Azian, Datuk Jalaludin Hassan, Rashdan Baba, Mubarak Majid, Maria Tunku Sabri dan Rahim Omar. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok