Saya anak kampung, tak sangka sampai sini- Fajar Noor

MESKIPUN bergelar naib juara program realiti, Indonesia Idol musim ke-13, Fajar Noor membuktikan bakat lebih daripada segala-galanya.

Baru setahun menghabiskan perjuangan dalam pertandingan tersebut, Fajar terus melangkah pantas dengan melancarkan album sulungnya berjudul Sementara, Selamanya.

Lebih mengujakan, tiga daripada karya yang dimuatkan dalam album berkenaan merupakan hasil nukilan dan garapannya sendiri.

Menurut Fajar, album tersebut merupakan karya peribadi kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman sendiri.

“Lagu saya yang ada dalam album Sementara, Selamanya itu tentang perjalanan cinta saya yang sementara tapi meninggalkan rasa selamanya.

Saya kongsi mengenai kisah peribadi kerana karya yang jujur mesti akan sampai kepada orang yang mendengarkannya.

“Jadi, saya mahu album saya tentang perjalanan cinta kerana biar orang boleh merasakannya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bagi penyanyi berusia 22 tahun itu, kelahiran album sulung berkenaan bukan sekadar sekadar naskhah muzik, malah menjadi simbol pertaruhan besar mengembangkan kerjaya seni ke peringkat lebih luas.

“Makna album ini untuk saya sendiri sebenarnya jalan pembuka untuk ke hadapan.

“Semoga adanya album ini saya boleh didengarkan ramai orang di Malaysia mahupun Indonesia,” ujarnya.

Seiring kerjaya yang semakin berkembang pantas, Fajar tidak menafikan bahawa fasa peralihan sedang dilalui menuntut kematangan tinggi dalam membuat sebarang keputusan.

Sudah tentu susah kerana saya anak kampung dan tiba-tiba saya jadi artis serta didengari ramai orang ­— susah untuk saya menyesuaikan diri.

“Ternyata saya baru sedar dalam dunia hiburan ada banyak hal yang harus kita tahan atau berhenti. Itu yang saya rasa.

“Mungkin dari segi pergaulan, kalau dulu kita buat saja apa-apa tapi untuk sekarang saya lebih dewasa untuk mengambil keputusan begitu,” luahnya.

DIGILAI kebanyakan peminat wanita, Fajar bersyukur ramai masih setia menyokong.

Dalam pada itu, dia tidak menyangka apabila karya yang dihasilkan mampu melangkaui sempadan dan menyentuh hati pendengar di Malaysia.

“Tak jangka karya saya didengari rakyat Malaysia, saya cuma berdoa saat itu album ini keluar semoga yang mendengar boleh merasakan dan jadi tempat ‘healing’ yang mendengarkan lagu saya.

Ternyata tidak di Indonesia sahaja, alhamdulillah di Malaysia banyak yang mendengarkan saya, saya suka sangat.

“Selama enam hari di Malaysia (tempoh hari), saya selalu fikir ‘Macam mana orang Malaysia boleh dengar lagu saya’,” ujarnya.

Ditanya mengenai perasaan mengadakan busking (muzik jalanan) di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini, Fajar teruja dengan kehangatan sambutan peminat tempatan.

“Saya rasa dapat sambutan sangat hangat, sepertinya saya diterima dengan baik.

Tak sangka ketika busking, ramai sangat datang ke Bukit Bintang. Saya terharu diterima baik di negara ini,” tutupnya.

Semasa berkunjung ke Malaysia, Fajar juga sempat mengadakan showcase khas buat peminatnya.

Seramai 600 orang yang hadir bagi menyaksi dan mendengarkan sendiri lantunan vokal pemuda asal Medan itu.

Sebanyak lima karya yang dinyanyikan iaitu Takhta Hatiku #Pendampingmu, Tuhan Tahu Kita Saling Cinta, Salah Apa Aku, 8 dan Jangan Datang Saat Kesepian sepanjang showcase yang diadakan di Aloft Hotel, Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok