DAKWAAN Emma Maembong berkahwin dianggap cubaan menjatuhkan nama baik aktres itu, pelakon Chacha Maembong mengakui kakaknya lebih selesa mendiamkan diri.
Enggan melayan hal remeh, Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aishah Ismail, 28, berkata, Emma memilih pendekatan sebegitu kerana enggan menarik perhatian netizen.
Tiada sebab nak keluarkan kenyataan. Kami memang tak gemarkan perhatian. Buat apa bagi maklum balas terhadap perkara tidak benar.
“Kami pilih abaikan sahaja. Kalau pertahankan diri sekalipun, orang tetap kata kami poyo atau sengaja buat drama,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 malam tadi.
Mengulas dakwaan Emma pernah mengalami keguguran, pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu menegaskan dirinya tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
Saya tak pasti tentang hantaran itu sebab tak tengok media sosial pihak yang menyebarkannya. Saya kasihan dekat kakak saya sebab dia baru nak bangkit.
“Setiap orang ada dugaan masing-masing. Mungkin ada pihak di luar sana yang tak senang melihat dia kembali berdiri, lebih-lebih lagi selepas menjadi ibu tunggal,” luahnya.
Berpendirian berani kerana benar, Chacha memberitahu dirinya tidak pernah letih menjadi pelindung kepada Emma setiap kali kakaknya itu terpalit kontroversi.
“Kalau situasi benar-benar teruk, saya sendiri akan bersuara. Sebagai adik, saya akan terus mempertahankan kakak saya.
Bila-bila dia perlukan saya, saya sentiasa ada. Saya tak akan penat pertahankan dia kerana dia kakak saya,” tegasnya.
Sebelum ini, HibGlam pernah melaporkan Chacha mengakui terkejut mendengar khabar angin Emma sudah berkahwin dengan seorang deejay kelab malam dikenali sebagai DJ Kidd.
Spekulasi bertambah panas apabila pasangan itu dikatakan bercuti bersama di luar negara selepas Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar. – HIBGLAM