‘Jangan tuduh saya, biar polis buat kerja mereka’

PASANGAN scammer ditahan polis, isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menuduhnya bersekongkol mahupun menyeleweng wang sumbangan awam.

Katanya, dia sentiasa berpegang kepada kebenaran dan mematuhi undang-undang malah mempunyai bukti bagi menangkis fitnah dilemparkan beberapa individu termasuk suaminya sendiri.

Mana-mana (individu) yang nak fitnah saya lagi, sila putar belitkan cerita ye. Perkara berkaitan perundangan ini saya takkan berani langgar atau putar belit.

“Jadi jangan mudah membuat tuduhan palsu terhadap saya. Saya ada bukti, bukti yang kukuh,” katanya dalam perkongsian InstaStory.

Menurut wanita berusia 32 tahun itu, dia menyerahkan siasatan terhadap scammer terbabit kepada pihak berkuasa.

“Apa lagi selepas ini? Difitnah sebagai scammer selewengkan duit derma? RM100,000? Biarkan polis lakukan tugas mereka.

Kebenaran akan didedahkan. Saya cuma mahu bersihkan nama. Jangan dengar sebelah pihak,” ujarnya.

Menerusi hantaran sama Afreena turut menzahirkan penghargaan terhadap pihak berkuasa yang berjaya menahan suspek kes seleweng RM95,180 yang sepatutnya digunakan untuk membantu Along ketika berada dalam tahanan.

Ketika dihubungi Kosmo! Online, ibu tiga anak itu mengakui mengetahui tangkapan itu sejak semalam namun dinasihatkan tidak menguar-uarkan berita tersebut kepada umum.

Katanya lagi, dia akan mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu selepas selesai membuat satu laporan polis terhadap suaminya.

Tunggu sekejap lagi. Sekarang saya masih di balai bertemu pegawai penyiasat untuk satu lagi laporan polis,” katanya.

Dipercayai laporan yang baru dibuat itu adalah membabitkan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, atas dakwaan memfitnah.

Hari ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan pihaknya menahan pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an di Sepang, malam tadi bagi membantu siasatan kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri pelawak Along Cham.

Setakat ini, Afreena antara tiga individu yang sudah dirakam keterangan berhubung kes berkenaan dan polis akan memohon perintah reman di Mahkamah Kajang.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan daripada Afreena berhubung kes penipuan dana sumbangan awam.

Sebelum itu, wanita terbabit tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang berjumlah RM95,180.

Afreena dilaporkan berkata, wang itu diserahkan dengan niat untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok