MENGHIDUPKAN watak untuk sesebuah filem aksi pada usia 40 tahun menuntut Yana Samsudin memberi tumpuan ekstra terhadap tubuh badannya agar stamina sentiasa terjaga.
Rasa sakit yang ditanggung selepas melakonkan adegan lasak seperti disepak atau diterajang meninggalkan kesan pada tubuh.
Terbaharu, dia sekali lagi terlibat dalam sebuah filem aksi komedi, Sahak Gangster yang menuntutnya menjayakan beberapa adegan pertarungan.
Seiring kematangan, lebih penting lagi lagi usia, Yana atau nama penuhnya Norliana Samsudin mempunyai cara tersendiri bagi mengurangkan rasa sakit iaitu dengan melumur badan dengan beberapa jenis minyak angin.
“Kalau berlakon babak aksi, memang saya lakukan semua sendiri. Kini, usia semakin bertambah, kemudian ada babak memerlukan saya perlu berlawan, jadi memang agak ‘tense’.
“Sebelum apa-apa berlaku dan masuk set, saya sudah sediakan banyak jenis minyak angin, campurkan semua dan dilumur satu badan.
“Lumur badan dengan minyak dan sakit itu akan kurang sedikit. Sebab itu pengarah kata saya bau minyak angin,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, amalam tersebut hasil ajaran pelakon lagak ngeri ketika dia menjalani penggambaran filem 8 Jam sekitar tahun 2012
“Tipu kalau saya cakap selepas lumur minyak angin badan tidak rasa sakit langsung, tetapi sekurang-kurangnya rasa kesakitan itu dapat diminimumkan.
“Sebenarnya itu adalah ‘trick’ yang diajar oleh koreografer dan stuntman dari Thailand ketika berlakon filem 8 Jam dahulu.
“Tiada jenama yang aneh-aneh pun, semua minyak angin itu boleh didapati di farmasi sahaja,” katanya lagi.
Kak Yong
Mengulas watak wanita gengster yang sering dijayakan sejak dahulu termasuk dalam Sahak Gangster, Yana hanya mengikut kehendak pengarah yang mempercayai kemampuannya.
“Semua itu adalah persepsi atau perkara yang melekat pada penonton dan pengarah terhadap saya. Kalau ditawarkan karakter lain saya akan terima juga.
“Tapi, watak ini memang kemahuan pengarah yang sudah membayangkan saya adalah Kak Yong dan gengster.
“Apabila saya baca skrip, ‘vibe’ gengster memang sama dengan busana hitam tetapi saya akan olah supaya tidak nampak sama seperti dalam filem-filem terdahulu,” ujar bintang filem Bini-Biniku Gangster itu.
Bercerita tentang cabaran filem arahan Dr. Ahmad Idham itu, Yana perlu melawan perasaan takut berada dalam air menjayakan babak di tengah laut.
“Sebenarnya saya paling takut sekali ialah adegan yang memerlukan saya membawa jet ski.
“Nampak hidup saya macam gembira tetapi hakikatnya seorang yang sangat takut air dan tidak pandai berenang kemudian tidak boleh pakai jaket keselamatan pula untuk babak itu.
“Jadi, bila perlu bawa jet ski ke tengah laut, memang rasa seram betul,” kongsinya.
Selain Yana, filem terbitan Millennium Megamas Sdn. Bhd. tersebut turut dibintangi Hariz Hamdan, Nelissa Nizam, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar. – HIBGLAM