Bengang ditipu hampir RM100,000, Naqiu hantar notis tuntutan

PENYANYI Naqiu nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menipunya sehingga mengalami kerugian hampir RM100,000.

Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib, 38, berkata, notis tuntutan (LOD) telah dihantar melalui peguamnya pagi tadi untuk menuntut hak dan keadilan.

Pada awalnya saya cuba elakkan isu ini daripada menjadi besar tetapi apabila saya berdiam diri, individu tersebut semakin berani memanipulasi keadaan.

“Mungkin dia fikir saya tidak akan bertindak, jadi saya rasa sekarang masanya untuk bertegas,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran lagu baharunya berjudul Khayalan, di sini, hari ini.

Pelantun lagu Episod Cinta itu juga mendakwa individu tersebut mengambil kesempatan dengan memintanya melakukan beberapa projek tanpa sebarang bayaran termasuk rakaman lagu dan video promosi jenama tertentu.

“Individu ini bukan sahaja meminta saya buat lagu tanpa bayaran, malah memaksa saya membuat video promosi jenama yang tidak pernah saya persetujui.

Saya dah lama bersabar tetapi apa yang dilakukan kali ini melampaui batas. Dia juga cuba memburukkan nama saya dalam kalangan orang industri dan mencabar saya secara terbuka,” ujarnya.

Menurut Naqiu yang hadir bersama peguamnya, Aizat Azam dari Tetuan Legalais, individu terbabit mendakwa telah membuat bayaran penuh untuk projek lagu tersebut namun hakikatnya perkara itu tidak benar.

“Saya diperkenalkan kepadanya oleh salah seorang ahli pasukan saya. Dia beritahu mahu hasilkan lagu walaupun tidak berbakat.

Ketika projek masih dalam peringkat demo, dia mendakwa saya memaksanya merakamkan single itu. Lebih teruk lagi, dia kata sudah buat bayaran penuh sedangkan satu sen pun saya tidak terima.

“Logikkah saya nak paksa orang yang tidak berbakat menyanyikan lagu saya sedangkan duit pun saya tak dapat?” soalnya.

Selain dirinya, pengurusan Naqiu, Mindorder turut menjadi mangsa penipuan individu itu dan telah menghantar LOD bagi menuntut hak mereka.

Pun begitu, Aizat berkata, sekiranya individu terbabit mahu menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah, mereka bersedia mempertimbangkan langkah tersebut.

Naqiu turut menasihati rakan-rakan artis lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan sepertinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok