TIDAK hadir ke pelancaran lagu terbaharu berjudul Tondu, pelawak Atu Zero menafikan berlaku pergaduhan membabitkan dirinya dengan dua abang, Sharif dan Syaiful.
Dalam masa sama, Atu atau nama lengkapnya Sharif Kunal Doli Sharif, 33, juga menganggap hubungannya dengan darah dagingnya seakan watak filem Tiga Abdul yang hanya bergaduh manja.
“Hubungan kami macam Tiga Abdul. Lebih kurang begitu. Saya Abdul Wahub. Kami punya masalah begitu, masing-masing ada ego. Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba jadi begini.
“Saya buat kerja saya macam biasa, tahu-tahu bergaduh, saya jenis orang yang neutral.
“Namun, hubungan tak renggang, cuma ikatan dah tak akrab macam dulu. Ada rasa perbezaan. Adik beradik tetap adik beradik,” katanya kepada HibGlam pada pelancaran lagu terbaharu kumpulan Zero berjudul Tondu.
Dalam masa sama, Atu memaklumkan abang-abangnya terpaksa pergi ke Brunei atas urusan kerja sehingga tidak dapat hadir ke pelancaran lagu mereka hari ini.
“Kedua-dua abang saya berada di Brunei sekarang dan sepatutnya, kami bertiga ada di sana tetai saya mengorbankan diri saya untuk fokus sebab lagu ini dah lama dirakam.
“Prosesnya bermula sejak 2023 dan kami sudah berbincang, tarikh Januari akan dilancarkan. Tak tahu pula akan bertembung dengan tarikh acara di sana.
“Jadi, tak mengapa. Saya di sini untuk mewakili semua. Mereka cakap tak apa, yang penting lagu ini sudah dilancarkan dan bolehlah orang tahu mengenai kami. Dalam kata lain, macam memperbaharui lesen Zero.
“Tak ada rasa kesal. Benda sudah nak jadi, saya tak boleh ulas panjang-panjang. Yang penting, saya bawa mak saya sekali hari ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Sharif mendedahkan dalam sebuah podcast bahawa Atu pernah melarikan diri dari kampung halaman mereka di Sabah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.
Namun, Atu terpaksa menjalani kehidupan gelandangan kerana ketiadaan wang.
Kata Sharif, Atu hampir terjerumus dengan gejala dadah akibat salah memilih rakan sehingga hampir hilang harapan meneruskan kehidupan.
Susulan tindakan tersebut, Sharif memohon maaf atas keterlanjuran berkongsi aib tentang Atu.– HIBGLAM