TIDAK berkecil hati berdepan teguran, penyanyi Aina Abdul menganggap kenyataan dibuat vokalis senior, Man Bai yang mendakwa dia tidak memiliki ‘killer song’ sebagai ingatan agar berusaha ke arah itu.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, dia bersangka baik dan sanggup menyahut teguran penyanyi kumpulan Gersang itu dengan cuba mendapatkan karya daripada komposer hebat.
“Saya baru menyedari mengenai kenyataan dibuat beliau baru-baru ini. Ada rasa sedih sedikit dengan kenyataan itu tetapi saya bersangka baik sahaja.
Saya pun tak tahu konteks perbualan Man Bai, jadi saya tidak mahu berat sebelah selain enggan disebabkan hal tersebut kami jadi janggal apabila berjumpa kelak kerana saya kerap menyewa studio beliau setiap kali menjelang konsert.
“Jadi kami pernah bekerja secara rapat. Bagi saya teguran seperti itu saya ambil dari sudut positif, sekali gus bersemangat mencari lagu yang lebih bagus,” katanya selepas sidang media konsert By Ajai & Mega Friends, semalam.
Pemilik lagu Sepi itu juga tidak menyalahkan Man Bai, sebaliknya mengakui ‘killer song’ penting kepada kerjaya seseorang penyanyi yang menjadi tanda dagang mereka.
Masih menganggap diri sebagai penyanyi baharu, penerima trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu-36 (AJL36) itu turut menerima kenyataan beberapa lagunya sebelum ini belum begitu menyerlah.
Saya terima dengan penuh rasa cinta, cuma seperti saya katakan tadi, saya tidak tahu dengan terperinci perbualan berkenaan.
“Jadi saya takut menghukum perbualan itu seolah-olah saya tak terima kenyataan namun saya harus akui apa dikatakan beliau itu.
Saya kerja keras untuk adakan ‘killer song’ selama dalam industri tapi lagu-lagu saya Sumpah, Sepi, Semalam belum cukup untuk jadi ‘killer song’.
“Killer song’ kena ada kerana itu komponen penting untuk berjaya. Seperti Ajai, disebabkan lagu hitnya, dia dapat bertahan sampai sekarang,” ujarnya.
Pada masa sama, Aina juga menyimpan impian untuk bekerjasama dan mendapatkan lagu daripada komposer hebat seperti Ajai, Datuk M. Nasir dan Aubrey Suwito. – HIBGLAM