PERNAH meletakkan sasaran bergelar isteri pada usia 25 tahun, pelakon Chacha Maembong mengakui semakin matang dalam merencana kehidupan apabila enggan terburu-buru berkahwin.
Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Rohani Ismail, 28, berkata dia tidak kisah dilabel andartu selagi belum bertemu calon pasangan hidup yang tepat.
“Dahulu saya pernah cakap nak kahwin umur 25, tapi masa berlalu dan sehingga usia sekarang pun saya belum bertemu jodoh seperti diidamkan.
“Di Malaysia wanita umur 28 tahun macam saya mulalah dipanggil andartu (anak dara tua), tapi sekarang saya tak pernah fikir soal itu sebab sekarang ramai kahwin dalam usia 30-an.
“Semakin matang kita semakin tenang dan faham semua berbalik kepada ketentuan Tuhan. Ada jodoh, ada lah. Tak perlu tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui pada pelancaran trailer, poster dan OST filem Limbungan, baru-baru ini.
Ditanya sama ada hatinya sudah kembali dimiliki, adik kepada Emma Maembong itu menegaskan enggan lagu berkongsi sesuatu yang belum pasti.
Katanya, bersandarkan pengalaman lalu dia kini lebih selesa menyimpan hak peribadi apatah lagi berkenaan hubungan cinta selagi belum sah.
“Boleh nak kongsi tentang hubungan, tapi kalau tak jadi kahwin nanti saya yang malu sebab pernah terjadi apabila saya terlalu mendedahkan kisah peribadi dulu.
“Saya tak mahu ulang kesilapan lama. Pengajaran yang saya dapat dari perjalanan hidup sebelum ini ialah jangan cerita selagi belum sah nak kahwin.
“Bukan apa, takut wanita pula yang dikatakan melebih-lebih Saya pasti akan kongsi bila sudah tiba masa nanti,” ujarnya.
Chacha pernah menjalin hubungan dengan pemuda berketurunan tionghua asal Borneo sebelum akrab bersama seorang ahli perniagaan. – HIBGLAM.