‘Baharu atau lama, kena terus berguru’

HADIR dengan pakej lengkap, nama pelakon Sara Ali bukan asing dalam industri hiburan tanah air.

Memulakan kembara seninya lebih 10 tahun lalu, Sara tidak hanya mencuri perhatian melalui lakonannya, tetapi juga melalui gaya dan karisma yang tersendiri.

Kendatipun sering dilihat membawa watak-watak penuh emosi dan kompleks, dia tetap mampu memberi kesan yang mendalam dalam setiap peranan yang dibawa. Kredibiliti lakonannya selayaknya dipuji.

Pun begitu, meski sudah lama bergelar anak seni dengan limpahan variasi watak, pemilik nama sebenar Siti Sarah Hairi Ali itu masih mengikuti kelas lakonan bagi membantunya menjiwai sesebuah peranan dan mengatasi tahap kurang keyakinan.

Menggalas watak Sarimah dalam filem seram berjudul Bisikan Dosa, aktres berusia 34 tahun itu mahukan perubahan selain enggan terus selesa dengan menggunakan metode sama dalam lakonan.

“Apabila mendapat tawaran membawakan watak Sarimah dalam Bisikan Dosa, saya lihat naskhah dan peranan itu sangat kompleks. Saya sudah buntu memikirkan metode apa lagi yang boleh saya gunakan untuk hidupkan watak ini.

Jadi selepas 12 tahun, saya ambil inisiatif untuk mengikuti kelas lakonan bersama aktres Farah Ahmad selama tiga hari sebelum penggambaran bermula.

“Dalam lakonan, ada orang boleh guna memori tapi saya sudah tak boleh guna memori ini selalu. Jadi, saya kena cari benda lain dan filem ini mengajar dari segi teknikal,” katanya kepada Pose.

SEBELUM memulakan penggambaran filem Bisikan Dosa , Sara berguru dengan aktres Farah Ahmad.

Filem seram arahan Faizul A. Rashid yang bakal ditayangkan pada 9 Januari tahun hadapan itu turut dibintangi Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans dan Syazuwan Hassan.

Tambah pelakon filem Kami Histeria itu lagi, meskipun berpengalaman, dia merasakan masih ada keperluan untuk menyertai kelas lakonan bagi mengasah kebolehan sedia ada.

“Pelakon akan terperangkap dalam zon selesa apabila mereka berkecimpung terlalu lama dalam bidang ini.

Keadaan itu menimbulkan kebuntuan kerana kita tidak tahu cara apa lagi yang boleh digunakan untuk menghidupkan watak yang dibawakan.

“Terus-terang saya agak risau apabila diberikan watak yang berat seperti Sarimah ini. Memang saya mahukannya tapi dalam masa risau untuk melakonkannya. Sebab itu, pelakon baharu atau lama, kena terus berguru,” ujarnya serius.

Berkongsi perkembangan lain, aktres kecil molek itu bakal memulakan percubaan sebagai pengarah menerusi sebuah video muzik yang bermula tidak lama lagi.

Penggambarannya bermula sekitar bulan ini, melibatkan video muzik untuk sebuah kumpulan tempatan. Saya mahu tengok sejauh mana saya boleh mengarah.

“Atas sebab itu, saya kena mulakan sesuatu, mungkin dengan muzik video kemudian filem pendek,” kongsinya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok