‘Terbuka bekerja dengan semua’ – Syarul Ezany nafi anak emas TV3

TAMAT sahaja kehangatan drama KAMI The Movie pada 2007, si hero muda, pencair hati banyak anak gadis ketika itu, Syarul Ezany terus tenggelam dari radar industri hiburan.

Bukan kerana drama tersebut tiada sambutan tetapi pemilik nama lengkap Syarul Ezani Mohamed Ezzudeen memilih keluar dari kehangatan gelombang dunia hiburan.

Beberapa tahun menyepi, Syarul akhirnya kembali beraksi, sekali gus mahu merancakkan karier seni setanding rakan seperjuangan lain.

Begitupun, kekerapan tampil dalam naskhah rangkaian televisyen TV3 sejak dua tahun lalu mulai dipandang serong sehingga pelakon berusia 35 tahun itu dilabel sebagai anak emas.

Sebagai penggiat seni, Syarul sama sama sekali tidak pernah bersikap selektif, memilih untuk hanya bekerja dengan sesebuah stesen televisyen sebaliknya hanya mahu memberikan terbaik dalam setiap aksi.

Saya terbuka bekerja dengan semua pihak. Apabila menjadi pilihan paling sesuai untuk lakonkan watak-watak yang diwujudkan dalam drama sesebuah stesen televisyen, hal itu berbalik kepada kita sendiri.

“Saya kalau ditawarkan berlakon, tentu sekali saya akan terima. Jadi kegemaran atau tidak, yang paling utama adalah keberhasilan kerja yang diberikan,” katanya kepada HibGlam.

Percaya kepada rezeki, Syarul yakin segala kritikan atau tohmahan yang dilemparkan tidak akan menjejaskan kariernya.

Orang boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahukan. Yang tahu saya ini macam mana adalah diri saya sendiri, penggiat industri seni dan pengamal media.

“Saya cuma laksanakan kerja dan percaya pada rezeki yang Allah sudah tentukan untuk saya,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Syarul turut terbabit dalam naskhah One Cent Thief 2 menggalas tanggungjawab sebagai pegawai polis.

“Alhamdulillah, pihak produksi ada sediakan latihan sebagai persiapan untuk pelakon drama ini.

Bagi saya, persediaan kena ada. Sebagai polis dalam cerita ini, saya kena belajar cara yang betul pegang pistol.

“Latihan sangat penting dan memudahkan saya lakonkan watak polis,” jelasnya.

Drama lapan episod arahan Ariff Zulkarnain dan Alfie Palermo bakal ditayangkan dalam Astro Go, On Demand dan Astro Premier sekitar Januari tahun depan.

Selain Syarul, naskhah berkenaan turut dibarisi Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Faizal Hussein, Fabian Loo, Sofia Jane, Trisha Ooi dan Shashi Tharan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok