MENYEMAK semula naskhah drama dan filem terbitan Korea Selatan memang memenuhi selera penonton serata dunia.
Namun, siapa sangka ada juga penerbitan yang terkandas di tengah jalan atas sebab-sebab tertentu.
Bukan sahaja tak dapat menghabiskan penggambaran, mereka juga terpaksa membatalkan penyiaran drama terbabit.
Kali ini Daebak membawakan lima naskhah yang dinanti ramai tetapi tak berjaya disiapkan atau disiarkan seperti dirancang.
Joseon Exorcist
NASKHAH berjudul Joseon Exorcist dibintangi Jang Dong-yoon, Park Sung-hoon, Lee Yu-bi dan Kim Dongjun.
Sebelum disiarkan, drama tersebut telah dikritik apabila bitang utama, Dong-yoon dan Yu-bi cedera di set penggambaran.
Selepas dua episod pertama bersiaran, drama itu teruk dikecam penonton Korea dan Cina kerana sejarah yang ditonjolkan tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan.
Lebih 216,000 tandatangan dikumpul untuk membatalkan penerbitan drama terbabit malah penaja utama seperti Samsung dan LG turut menarik diri.
Prometheus
PROMETHEUS antara drama ditunggu ramai kerana menggandingkan pelakon sensasi Ha Ji-won dan Jin Goo.
Dalam masa sama, pembikinan drama tersebut meraih pujian apabila dijangka bertaraf ‘blockbuster’ dengan bajet 30 billion won (hampir RM95 juta) iaitu jumlah yang sangat besar pada 2017.
Tidak lama kemudian, Ji-won terpaksa menarik diri daripada penggambaran kerana terikat dengan aktiviti lain.
Lebih mengecewakan, pihak penyiaran iaitu MBC mengumumkan drama itu tidak akan dilancarkan.
Kemudian, Jin Goo turut memutuskan untuk meninggalkan produksi tersebut tanpa menghabiskan penggambaran.
Four Sons
DIBINTANGI Park Hae-jin dan Nana, ramai peminat tidak sabar menanti tayangan drama Four Sons.
Namun, pembikinan naskhah tersebut berdepan masalah apabila syarikat produksi membuat permintaan mengarut selain enggan membayar pelakon dan kru.
Susulan situasi kurang menyenangkan itu, ramai pelakon menarik diri termasuk Nana.
Malah, Hae-jin bertindak memfailkan saman terhadap rumah produksi yang menerbitkan drama berkenaan.
School 2020
SEPATUTNYA naskhah School 2020 yang dibintang Kim Yohan dan Ahn Seo-hyun dijadualkan ditayangkan pada Ogos 2020.
Bagaimanapun, beberapa konflik timbul apabila bapa Seo-hyun mula membuat permintaan tidak masuk akal kepada penerbit naskhah tersebut.
Disebabkan itu, Seo-hyun disingkirkan daripada meneruskan drama terbabit.
Penerbit drama kemudian menawarkan watak utama wanita kepada Kim Sae-ron tetapi pihak KBS memutuskan untuk tidak menyiarkan drama itu.
Wolf
PADA asalnya Wolf mempunyai 16 episod tetapi dibatalkan selepas tiga episod terawal ditayangkan.
Penggambaran drama itu ditangguhkan selepas beberapa pelakon cedera termasuk bintang utama, Eric.
Ikut perancangan, penggambaran Wolf akan disambung sebaik sahaja aktor itu pulih daripada kecederaan namun berikutan terlalu lama tidak diteruskan, penerbitannya terpaksa dibatalkan. – HIBGLAM