[VIDEO] Lawak! Shahrol Shiro tersilap sekolah anak

GELAGAT pelawak, Shahrol Shiro yang tersilap menghantar anaknya ke sekolah berlainan pada hari kedua sesi persekolahan dibuka mengundang kelucuan.

Kata Shahrol Azizie Azmi, kesilapan itu hanya disedari selepas dihubungi guru di sekolah berkenaan beberapa jam kemudian agar mengambil Iskandar Rizqi atau Iqi, 7.

“Cerita hari ini (semalam), saya hantar anak ke sekolah. Lepas beberapa jam, saya dapat satu panggilan telefon katanya dari pihak sekolah.

“Risau jugak kalau ada apa-apa berlaku, rupanya saya tersalah hantar anak ke sekolah,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Video tersebut tular di media sosial selepas rakaman berdurasi seminit 10 saat ketika mengambil semula anaknya yang berada di Tahun Satu dikongsi ramai.

Dalam video itu Shahrol dilihat bergegas ke Sekolah Kampong Melayu untuk menjemput anaknya yang sepatutnya di hantar ke Sekolah Tunku Mahmood.

“Tak tahu sekolah? Mabuk eh?” gurau seorang petugas sekolah dalam video berkenaan yang turut memuji kebijaksanaan anaknya berdepan keadaan itu.

Shahrol juga meminta maaf atas kesilapannya sambil seorang guru menyatakan pengalaman sebegitu hanya berlaku pada individu tertentu.

Difahamkan dia tidak menyedari menghantar anaknya ke sekolah berlainan kerana segala proses kemasukan dan pendaftaran diuruskan isterinya, Ahad lalu.

Atas faktor kesibukan kerja, saya minta bantuan isteri uruskan kemasukan anak ke Tahun Satu. Dalam perbincangan nak masukkan Iqi ke sekolah mana, ada dua nama sekolah yang disebut.

“Rupa-rupanya ayah hantar anak ke sekolah lain. Dah siap masuk kelas belajar tapi dia pelik bila tengok padang tak sama macam sekolah dia sebelum ini.

Terus dia jumpa cikgu beritahu dia tersilap sekolah. Apabila guru periksa tanda namanya berlainan dengan murid di situ, Iqi dihantar ke pejabat sebelum sekolah menghubungi saya,” ujarnya.

Dalam hantaran sama, Shahrol, 39, tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada semua bapa supaya tidak melakukan kesilapan serupa.

Kepada ayah di luar sana, jangan lakukan kesilapan sebegini. Maafkan ayah ya Iqi. Terima kasih cikgu-cikgu yang membantu,” katanya lagi.

Menerusi hantaran Facebook isterinya, Nor Farhanah Syamimi atau Anna, pasangan terbabit dilihat terhibur dengan sikap selamba Iqi ketika diusik pulang awal dari sekolah. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok