Tiada manusia rela dicemuh – Amelia Henderson

BUAT Amelia Henderson, tiada apa lebih didambakannya sekarang melainkan kerjaya seninya bergulir deras biarpun kadang-kadang diuji dengan sepak terajang industri yang melelahkan.

Dia sedar, apa sahaja tindak-tanduknya, suka atau tidak, tetap akan menjadi perhatian khalayak kerana masih memegang status sebagai seorang figura popular.

Cerita ‘mahkamah’ dengan penerbit, Datuk A. Aida masih berjalan dan dia tidak mahu terlalu pusing akan perihal terbabit sebaliknya meletakkan fokus tidak berbelah bahagi terhadap apa yang sepatutnya iaitu kerja seni.

Pemilik nama lengkap, Amelia Thripura Henderson itu turut ‘berselirat’ dengan gosip percintaan dengan aktor kacak, Aedy Ashraf sehingga disangka bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Amelia melakonkan seorang pelacur bernama Zana dalam drama One Milion Dollar Voice arahan pengarah Michael Ang.

Enggan hanya cerita kasmaran bersama Aedy terus ditebarkan, Amelia sebenarnya memandang serius kisah mahkamah yang kadang menyesakkan dadanya.

Cuba menjadi seorang yang berhati ‘kering’, Amelia bagaimanapun meneruskan kehidupan seperti biasa dan tidak mahu terlalu terkesan dengan apa yang berlaku.

“Tipu jika tak terkesan bila dilabelkan degil dan sombong. Tiada manusia dalam dunia ini rela bila dicemuh, tetapi saya bersyukur keluarga dan rakan baik lebih mengenali saya.
“Jika bercakap dari sudut profesional, saya tak terkesan bila dianggap degil dan sombong. Ini kerana orang sekeliling kenal saya.
“Namun, saya terasa bila membaca komen netizen. Rasa sakit pasti ada, saya juga bimbang persepsi ini memberi tanggapan buruk terhadap saya dan pekerjaan,” katanya.

Wanita yang menceburkan diri dalam dunia hiburan seawal usia 10 bulan itu berkata, andai benar dirinya bermasalah, sombong dan keras kepala, mungkin kariernya sudah lama berkubur.

“Mana mungkin saya bertahan selama 27 tahun jika sombong dan degil..“Saya yakin ini disebabkan saya bina reputasi baik dengan penggiat seni. Saya berterima kasih kepada produksi yang sudi dan masih beri kepercayaan walaupun saya berperang dalam keadaan ini,” katanya.

Ujar Amelia, tindakan diambil juga bukan dilakukan mengikut perasaan, namun mendapat nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang undang-undang.

“Langkah saya mempertahankan nama dan kerjaya tidak dilakukan ikut emosi semata-mata. Tiba-tiba bangun tidur rasa nak ambil tindakan, bukan begitu.

Zana si pelacur One Million Dollar Voice

“Semuanya dibuat atas pertimbangan. Saya tak pernah turun naik mahkamah dan saya juga tidak faham mengenai prosedur mahkamah.

“Jadi, saya mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang perundangan untuk dapatkan keputusan betul,” ujarnya panjang lebar.

Amelia yang memainkan karakter Zana dalam One Million Dollar Voice turut berkongsi pengalaman berlakon watak terbabit.

AMELIA tidak menafikan sedang intim bersama pelakon Aedy Ashraf namun belum serius memikirkan saat kembali bergelar isteri orang.

Melakonkan watak seorang pelacur yang ingin keluar daripada kehidupan ‘gelap’, dia tidak kisah dengan tanggapan audiens kerana baginya, penonton sekarang sudah bijak menilai.

“Penonton dah pandai sekarang. Tidak bermaksud kita berlakon watak pelacur, dalam kehidupan sebenar kita sebegitu atau kita menyokong kerjaya terbabit.

“Apa yang ingin disampaikan adalah mesej dalam drama iaitu walaupun bekerja melayani nafsu lelaki, tidak semua yang tergolong dalam profesion itu melakukannya dengan rela hati.

“Ada yang nak keluar daripada dunia kotor itu dan memulakan kehidupan yang baharu,” katanya menggulung bicara. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok