KEHADIRAN pelakon Indonesia, Refal Hady ke negara ini bagi mempromosikan filem Ketika Berhenti Di Sini mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 peminatnya membanjiri sebuah pusat beli-belah di Damansara Utama, semalam.
Keterujaan bertemu aktor asal Jakarta itu membuatkan rata-rata peminat tegar sanggup beratur sejak pukul 10 pagi sedangkan dia dijadualkan muncul pada acara promosi tersebut sebelah petang.
Bahkan ketika Refal tiba, tercetus pergaduhan kecil apabila peminat berebut-rebut mahu bergambar bersamanya yang sebelum ini popular dengan filem Galih & Ratna.
Ketika ditemui HibGlam sebelum acara promosi itu, Refal mengakui teruja mahu bertemu pengikut setianya di sini.
Selain Refal, pelakon Prilly Latuconsina dan sutradara filem terbabit, Umay Shahab juga hadir ke acara itu.
Filem Ketika Berhenti Di Sini ditayangkan di pawagam tempatan sejak 17 Ogos lalu mengisahkan seorang pereka grafik bernama Anindita Semesta (Prilly) yang mempunyai idealisme tinggi serta takut kepada kegagalan.
Anindita kemudian bertemu arkitek muda, Edison Kartasasmita (Bryan) yang mengundang tragedi sehingga memberi impak besar dalam hidupnya. – HIBGLAM