MAHU pemata hatinya menyusu badan hingga genap usia dua tahun, pengacara dan pelakon, Jihan Muse lebih selektif dalam menerima tawaran.
Bahkan ibu kepada Ungku Altamis Barr yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pertama bulan depan itu mengakui sama sekali tidak ralat melepaskan tawaran berlakon.
“Kami tiada pembantu, urusan rumah serta menjaga anak-anak dilakukan bersama suamie tetapi kebelakangan ini Ungku Haris terbabit dalam penggambaran yang memerlukan saya fokuskan dulu kepada rumah tangga.
“Pada masa sama, saya mahu beri putera kedua kami susu ibu sepenuhnya sampai umur dua tahun. Abangnya dahulu, saya terus keluar bekerja selepas habis berpantang.
“Saya tak ralat ketepikan lakonan buat sementara waktu, tambahan pula saya tak pernah tinggal anak kecil kami lama sebab mahu kejar waktu menyusukannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media The Chosen One.
Begitupun, bekas pengacara Gegar Vaganza itu sedia terbabit dalam program televisyen yang tidak memerlukan masa panjang seperti rancangan realiti baharu The Chosen One terbitan Astro.
Belum disiarkan, pertandingan berkonsepkan nyanyian membabitkan peserta kanak-kanak itu menyaksikan Jihan duduk di kerusi juri yang turut membabitkan Hazama, Afieq Shazwan dan beberapa penyanyi lain sebagai mentor.
“Apabila ditawarkan tanggungjawab sebagai juri The Chosen One, saya tak mampu tolak kerana keunikan program ini yang membabitkan bakat muda, selain tugasannya hanya sehari dalam seminggu.
“Tawaran mengacara program buat masa ini belum ada, apabila dipertanggungjawabkan sebagai juri itu pun satu amanah besar, apatah lagi membabitkan peserta muda,” luahnya.
Terdahulu, perkahwinan pelakon Keluarga Bahadon itu dengan Ungku Haris yang juga aktor pada 2016 dikurniakan dua zuriat iaitu Ungku Arsalan Haq, 5, dan Ungku Altamis Barr, 11 bulan. – HIBGLAM