Siapa sangka di sebalik keramahan dan senyuman yang menguntum di bibir, penyanyi terkenal Ziana Zain memendam 1,001 rasa apabila tidak terlepas menjadi bahan umpatan orang ramai sejak bergelar ibu tunggal empat tahun lalu.
Luahnya, bukan senang hidup tanpa suami, banyak yang perlu ditempuh apatah lagi mulut orang.
Sebak dilanda emosi, penyanyi Madah Berhelah itu bagaimanapun menguatkan hati dan semangat untuk terus kekal positif demi anak-anak.
“Orang akan umpat sampai mati, selagi bergelar ibu tunggal, selagi bawa gelaran ‘J’ orang akan terus mengata macam-macam. Ngeri kalau nak fikir sebenarnya,” jelas Ziana yang tidak terlepas daripada rasa bimbang tiada tempat bergantung sejak bercerai pada 2018.
Selain menjadikan ibu bapa yang telah berusia sebagai sokongan selama hidup sendirian, Ziana selalu mengingatkan diri Allah sentiasa ada untuk memohon perlindungan.
“Saya minta Allah jaga saya, saya pun jaga maruah diri untuk diri dan anak-anak.
“Saya selalu fikir, macam mana nak hidup, nak jaga anak kalau mak ayah dah tiada nanti, tapi mak kata, tak mengapa, Allah ada,” luahnya kepada HibGlam usai pelancaran muzik video dan lagu terbaharunya, Waktu duet bersama penyanyi Hasif Upin, di ibu negara semalam.
Meneruskan perbualan dengan linangan air mata, Ziana atau nama lengkapnya Siti Roziana Zain berkata, antara umpatan orang yang diterimanya termasuklah soal keluar rumah berkerja sampai larut malam, pemakaian dan imej wanita bergelar ibu tunggal.
“Tipulah ibu tunggal tidak menangis. Kadang-kadang saya pesan kepada diri supaya saya terus kuat.
“Menangis itu lumrah. Kalau fikir-fikir balik, saya akan jadi gila, akan depresi. Saya tidak mahu berfikir tentang kehidupan tertekan selama empat tahun sebelum ini,” ujar penyanyi berusia 55 tahun itu.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu mengakui, semangatnya untuk kembali bangkit datang daripada anak-anak. Dia mahu melihat anak-anak membesar dalam suasana positif.
“Semangat saya kembali bangkit apabila melihat anak-anak. Saya tidak mahu hidup dalam kepompong sama.
“Alhamdulillah apabila saya selalu bersemangat depan anak-anak, Allah dorong mereka dalam pelajaran dan dapat meneruskan ke peringkat seterusnya,” ujarnya Ziana bercerai dengan bekas suaminya, Armin Zaharin pada 12 Julai 2018.
Sebelum itu, Armin yang juga bekas pramugara ditangkap pada 2 Mac 2018, selepas Ziana membuat laporan polis atas dakwaan melalukan kekerasan pada 27 Februari 2018.
Hasil pernikahan selama 20 tahun, mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Ammar, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh. -HIBGLAM