Pengorbanan Adira, antara memeluk anak, mencari rezeki

BERADA di kasut wanita bernama Adira Suhaimi bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui sesiapa pun.

Di sebalik tubuh kecil, tersimpan sepasang bahu yang sarat menanggung beban besar, serta sekeping hati yang bertahun-tahun memilih menelan kepedihan seorang diri dalam kesunyian.

Meniti fasa dua tahun memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal kepada empat cahaya mata yang masih kecil adalah sebuah runut kehidupan yang menuntut kekuatan luar biasa.

Luarannya kelihatan ampuh, namun dalaman perasaan tiada siapa yang benar-benar tahu badai yang tersirat.

Membuka helaian rasa mengenai status terkini, pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi mengakui fasa bergelar ‘ibu dan ayah’ serentak bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia memilih untuk memeluk takdir tersebut dengan penuh reda dan kesyukuran.

“It’s not easy (tak mudah) tetapi alhamdulillah saya rasa saya mengendalikan keadaan dengan sangat baik.

Dari segi persediaan, banyak aspek kita kena tahu macam pelajaran dan kemahiran anak.

“Tapi secara peribadi saya sangat gembira. Saya menikmati momen-momen indah bersama anak dan alhamdulillah mereka pun seronok,” katanya kepada HibGlam.

HIDUP atas kudrat sendiri, Adira harus bijak mengendali emosi. Dia percaya jika ibu gembira anak-anak juga pasti seronok dan bahagia.

Jiwa tenang

Bagi penyanyi berusia 34 tahun itu, setiap permata hati yang dilahirkannya mempunyai keunikan dan punya warna tersendiri dalam mewarnai hidupnya yang penuh onak duri.

Anak-anak saya masing-masing ada kelebihan tersendiri. Macam Anggrek ada kelebihannya dan yang lain juga ada kemahiran.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan amanah yang diberikan Allah ini.

“Sekali lagi, tak mudah tapi syukur saya sangat menikmati pengembaraan ini,” tuturnya.

Mengimbau kembali kanvas kehidupan, Adira tidak pernah menduga mampu berdiri teguh sehingga ke saat ini.

Baginya, ketenangan jiwa seorang ibu adalah benteng paling utama sebelum memastikan anak-anak berada dalam keadaan baik.

“Sejujurnya saya memang tak pernah terfikir pun akan sampai ke tahap ini sebab saya hanya ‘follow the flow’ saja.

Yang penting saya kena jaga emosi sendiri barulah emosi anak-anak terjaga.

“Sebab membesarkan anak-anak ini sebenarnya emosi ibu nombor satu. Kalau okey, anak-anak pun akan terjamin,” ujarnya.

Disoal mengenai peranan bekas suami dalam melunaskan tanggungjawab, wanita kelahiran Ranau, Sabah itu tidak pernah menutup pintu mahupun membina tembok penghalang antara anak-anak dan bapa mereka.

“Saya harap (pengorbanan bapa) pun begitu. Siapa saja yang tak mengharapkan begitu kan?

Saya pun tiada halangan apa-apa, saya sangat terbuka. Tinggal lagi ayah dia yang kena ambil tanggungjawab itu sendiri.

“Selebihnya saya akan jalankan tanggungjawab saya sebagai ibu sehabis baik yang saya mampu,” ujarnya.

TIDAK hanya fokus kepada Anggrek yang kini bersaing dalam Talk To Manager musim kedua, Adira tetap beri tumpuan kepada tiga lagi anaknya yang masing-masing diyakini punya kemahiran tersendiri

Seperti kebanyakan ibu tunggal yang berdikari, pelantun lagu Sayang Orang Sama itu tidak lari daripada dihurung rasa bersalah antara tuntutan mencari rezeki di luar dan keinginan untuk memeluk anak-anak di rumah.

“Saya sangat bersyukur dikelilingi orang yang sangat membantu macam keluarga, pembantu, kawan-kawan dan orang sekeliling.

Anak-anak pun memudahkan urusan saya. Nak kata ‘down’, biasalah ibu-ibu kan. Kadang-kadang kita penat bekerja. Kitalah ibu, kitalah ayah.

“Kita kena bekerja di luar tapi dalam masa sama ada perasaan bersalah itu sebab terlampau fokus tanggungjawab luar.

“Tapi kalau kita tak bekerja, habis itu siapa nak bertanggungjawab di rumah kan?” luahnya.

Pengorbanan

Tambah Adira, kerisauan dan dilema tersebut adalah lumrah bagi mana-mana wanita yang memilih untuk berdiri di atas kaki sendiri demi mencari sesuap nasi buat keluarga.

Sebagai ibu, saya selalu berlawan dengan perasaan sendiri sebab saya nak ada dengan anak-anak di rumah tapi perlu bekerja.

“Tapi lama-kelamaan anak-anak pun faham dan orang sekeliling saya sangat membantu.

Saya dapat kerja dengan tenang, fokus kerja dan balik rumah tumpukan perhatian kepada anak-anak pula.

“Hari-hari ulang benda yang sama, saya tak pernah bosan pun alhamdulillah,” kongsinya.

Sebelum menggulung bicara, Adira menganggap segala lelah bekerja dan kehilangan kualiti masa bukanlah satu kerugian melainkan sebuah pengorbanan yang berbaloi.

“Saya rasa berbaloi untuk kita berkorban kerja dan masa. Tapi saya pastikan anak-anak berada dalam keadaan bagus, selamat serta cukup semua benda.

“Daripada segi masa memang berkorban habislah tapi itulah yang saya perlu buat untuk menanggung anak-anak,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok