Enggan disalahfaham, pelakon Noralbaniah tampil menjelaskan dirinya masih aktif berlakon, bukan bekerja sebagai tukang cuci seperti dakwaan yang hangat diperkatakan sekarang.
Katanya, video tular yang menunjukkannya melakukan tugas pembersihan adalah iklan di lapangan terbang bagi kempen meningkat kesedaran menjaga kebersihan tandas.
“Saya kena jelaskan yang saya bukan seorang ‘cleaner’ seperti disangka sesetengah orang selepas video kempen kebersihan itu viral dalam media sosial.
“Kalau saya diamkan saja susah pula sebab ada produser yang salah faham dan ingat saya enggan lagi berlakon kerana ada kerja tetap.
“Sebenarnya video viral itu adalah sebuah iklan di lapangan terbang yang bertujuan suntik kesedaran kepada masyarakat,” katanya selepas malam gala filem Vik2ria Secret, baru-baru ini.
Aktres berusia 53 tahun itu turut menyatakan susulan penyebaran video tersebut keluarga serta saudara-mara di kampung turut menyangka kehidupannya kini berdepan kesukaran.
“Gara-gara video berkenaan, saudara-mara meluahkan rasa simpati terhadap saya, sedangkan ini semua adalah salah faham sahaja.
“Bukanlah kerja ‘cleaner’ tidak bagus sebab itu juga sumber rezeki halal, cuma saya memang bekerja sebagai pelakon sejak sekian lama,” ulasnya lagi.
Noralbaniah akui disebabkan jarang memuat naik perkembangannya dalam media sosial, banyak pihak tersalah anggap bahawa dia sudah bersara sedangkan hakikatnya masih aktif memenuhi undangan lakonan.
Kata ibu tunggal itu, dia baru menamatkan penggambaran sebuah drama berjudul Surat Cinta Untuk Jannah untuk siaran TV Alhijrah. – HIBGLAM