Penyanyi tersohor, Ziana Zain sentiasa mengingatkan anak-anaknya supaya tidak lupa menghubungi bapa mereka, Armin Zaharin Ahmad Zambri.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain berkata, walau apapun terjadi, lelaki itu tetap bapa kepada empat anaknya.
“Saya takda apa-apa dah. Anak-anak sahajalah. Selalu saya ingatkan anak-anak sama ada mereka dah telefon bapa mereka atau belum.
“Setiap minggu kena tanya keadaan bapa. Apa-apa pun, beliau tetapi bapa mereka,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini, baru-baru ini.
Pelantun lagu Madah Berhelah itu menegaskan bahawa, tiada dendam antaranya dengan bekas suami dan dia sudah lama memaafkan individu itu.
“Saya dah maafkan sejak dulu tak kira siapa pun. Kawan ke, saudara ke, siapa sahajalah. Saya sentiasa memaafkan.
“Sebab kalau kita tak maafkan kita akan bawa benda itu sampai akhirat nanti. Saya tak mahu. Saya nak hati dan fikiran saya lapang.
“Bagi saya, memori tetap memori kita tak boleh padam. Tapi, kita jalaninya dengan cara yang positif.
“Anak-anak saya selalu jumpa ayah mereka. Kita kalau orang tak bagi jumpa bapa kita, bagaimana, marah tak kita?. Jangan buat begitu, berdosa,” katanya lagi.
Armin Zaharin yang juga bekas pramugara ditangkap pada 2 Mac 2018, selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Ziana memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018, selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.
Ziana dan Armin Zaharin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.