Pelakon Puteri Sarah Liyana memaklumkan suaminya, Syamsul Yusof sedia menarik balik semua tuntutan terhadapnya, termasuk nusyuz yang difailkan pada 21 Mac lalu.
Kata pelakon berusia 38 tahun itu, keputusan Syamsul mendorongnya untuk melakukan perkara sama.
“Saya sudah berbincang dengan Syamsul, dia akan tarik balik nusyuz dan kita pun tidak akan failkan (nusyuz).
“Insya-Allah semuanya akan selesai termasuk hadanah. Kita cuma mahu berakhir dengan tenang, tak mahu gaduh, tak nak bermusuhan.
“Sekali ini kita boleh selesaikan semua hak penjagaan anak, nafkah dan sebagainya. Semua yang saya nak, saya sudah beritahu pihak Syamsul dan dia pun okey,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu ditemui selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.
Perkara berkenaan turut disahkan peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
“Hadanah akan diselesaikan, manakala nusyuz pula dia ( Syamsul) akan tarik balik,” katanya.
Dalam masa sama, Puteri Sarah turut mengakui Syamsul yang memulakan langkah untuk mengadakan perbincangan dan semuanya berjalan secara aman tanpa pergaduhan.
“Semalam kami sudah berjumpa berdua di rumah dan kami sudah berbincang bagi mencapai kata sepakat.
“Alhamdulillah semua terma-terma dan syarat-syarat telah dipersetujui. Mungkin sebab berkat bulan Ramadan.
“Ada beberapa saksi yang bersama kami semalam termasuk sepupunya. Tiada gaduh, tiada apa. Saya rasa perjumpaan kami berjalan dengan baik dan saya tak perlu pening kepala lagi selepas ini.
“Keluarga kedua-dua belah pihak pun okey. Kami lakukan kerana anak-anak kami. Semalam pun dia berbuka puasa dengan anak-anak dan selepas itu baru kami duduk berbincang,” katanya.
Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini menetapkan 18 April depan untuk pengarah itu melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah. – KOSMO! ONLINE