“Takkanlah saya balik umrah, apa orang lihat hanyalah pakaian saya.”
Itu antara penjelasan dari bibir pelakon dan penyanyi jelita, Daiyan Trisha apabila ramai mempersoalkan dirinya terus membuka aurat walaupun baru pulang dari mengerjakan ibadah suci terbabit.
Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin menegaskan, apa yang barangkali dilihat dari segi luaran oleh khalayak tidak melambangkan nurani hatinya.
“Proses menutup aurat ini lain-lain bagi setiap individu. Ada yang pakai cabut, pakai cabut. Tak mengapalah, mereka pun mencuba. Siapa kita untuk menghakimi?
“Untuk kaum wanita, kita sangat senang dihukum atas apa yang kita pakai sebab senang bagi manusia begitu. Takkanlah saya balik umrah, apa yang kalian tengok adalah pakaian saya sahaja. Tapi, itu yang paling dilihat dan paling senang untuk mencari salah.
“Kalau hati ini boleh keluar. Maknanya, boleh nampak tompok-tompok hitam, itu pun kalian ‘judge’. Kalaulah boleh nampak.
“Orang tak boleh nampak hati saya. Apa yang mereka nampak adalah luaran saya. Jadi, saya faham apabila khalayak ‘judge’ saya bila tak pakai tudung,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.
Daiyan, 30, yang ditemui usai sidang akhbar filem Sumpahan Jerunei berkata, dia sangat terhutang budi kepada Allah SWT yang tidak lokek memberikan segala pinjaman duniawi.
“Keluarga saya biasa sahaja, tak kaya. Saya yang tiba-tiba jadi kaya. Alhamdulillah rezeki. Takkan saya nak cakap saya tak kaya, kan? Sebab memang orang dah nampak gaya hidup saya apa semua.
“Saya sentiasa ingatkan diri bahawa hanya sebulan dalam setahun yang saya kena ketepikan hal dunia sekejap sahaja. Janganlah macam nak kerja sangat.
“Sebab dulu masa awal 20-an, saya seorang yang sangat ‘workaholic’ namun sejak tahun lalu saya macam tersentak mula sedar bahawa saya nak asingkan masa sebulan untuk beribadat kepada Tuhan,” ujarnya.
Daiyan baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah beberapa hari lalu. Kali kedua menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah, dia ke sana bersama ibu tersayang, Samsiah Mohd. Nor.
Pelakon drama Projek: High Council itu juga memasang impian untuk bernikah di Mekah sejak kali pertama mengerjakan umrah tahun lalu.
“Memang cita-cita nak nikah di Mekah. Saya pasang niat sejak tahun lalu namun calon suami belum ada lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE