Penyanyi bersuara lunak, Liza Hanim kesal terhadap sesetengah peniaga yang mementingkan diri sendiri apabila meletakkan harga makanan ‘mengarut’ dan menghidangkan makanan dengan kualiti yang teruk.
Sebagai seorang yang gemar pergi ke bazar Ramadan, Liza atau nama lengkapnya Haliza Hanim Abdul Halim menyeru kepada peniaga-peniaga untuk menghentikan perbuatan sebegitu.
Pada masa sama, penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu turut berpesan kepada pembeli agar tidak melontarkan tomahan kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab.
“Kita harus hentikan perkara ini. Orang beli dengan duit yang mereka kumpul.
“Pembeli pulang dengan rasa hampa dan siap maki-maki kepada kita. Itu sudah jadi satu doa,” katanya kepada Kosmo! Online.
Kata Liza, 44, semua orang pernah melalui saat getir ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19, jadi menurutnya, inilah masa terbaik untuk masyarakat saling membantu terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini.
“Kita semua melalui fasa PKP, mengapa tidak sama-sama memberi. Orang lain datang untuk memberikan rezeki.
“Jangan biar mereka pulang dengan doa yang tidak baik. Semua sudah merasakan kesusahan semasa PKP jadi marilah kita bantu antara satu sama lain pula sekarang,” jelasnya.
Perkara tersebut disuarakan Liza susulan sejak awal Ramadan lalu, tular pelbagai isu berkaitan jualan makanan di bazar berkenaan harga dan kualiti makanan teruk antaranya martabak hangit, karipap berkulat, taufufa basi dan sosej berulat.