Kemaafan dendam terindah, berdamai itu lebih tenang

SENGKETA sesama artis atau selisih faham bukanlah perkara baharu dalam industri hiburan di pelosok dunia mana pun.

Sehingga kini, masih ramai artis tempatan yang dahulunya rapat bagaikan belangkas, tetapi akhirnya tidak bertegur sapa.

Tidak kurang juga yang sering berbalas kenyataan dalam media sosial yang akhirnya menjadi bahan umpatan netizen.

Memaafkan dan melupakan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi tidak juga mustahil.

Ramai juga selebriti yang dahulu bermusuh kini sudah berdamai. Masing-masing semakin matang seiring peningkatan usia.

Beberapa minggu lalu industri hiburan panas dengan perselisihan faham yang terjadi antara Ameng Spring dan Liza Hanim.

TIDAK membiak menjadi dendam, salah faham antara Liza Hanim dan Ameng baru-baru ini segera pulih selepas masing-masing, terutama Liza mula merendah diri meminta maaf.

Liza dikatakan terasa dengan kenyataan Ameng yang mengatakan bahawa tidak semestinya yang tidak bergelar juara tidak boleh berjaya. Lantas dia meluahkan kekesalannya di dalam akaun media sosial.

Ameng pula membidas Liza dengan mendakwa penyanyi itu sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Namun, beberapa hari selepas itu, kedua-dua mereka memilih jalan damai atas salah faham yang berlaku.

Terbaharu, pelakon Izreen Azminda pula berkongsi kisah perdamaiannya dengan bekas madu, Intan Salleh selepas bertahun-tahun membakar sengketa.

“Syukur alhamdulillah akhirnya pertikaian antara kami diselesaikan secara baik. Terima kasih Intan.

“Harapan saya agar selepas ini hubungan yang terjalin dapat lebih terpelihara demi kebahagiaan kita bersama terutamanya untuk anak-anak.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf jika sebarang tindakan atau perbuatan saya sebelum ini yang mengguris hati Intan dan mana-mana pihak.

“Semoga Allah sentiasa menjaga dan memelihara hubungan kita ke arah yang lebih baik. Ya Allah jagalah dan lindungilah hubungan ini sebaiknya,” tulisnya dalam Instagram.

DIFAHAMKAN Izreen dan Intan bersama peguam masing-masing memilih menyelesaikan kes saman mereka secara luar mahkamah.

Turut dikongsikan adalah foto-foto mereka saling berpelukan di luar mahkamah tanda segala sengketa sudah terlerai dan kini mereka hanyalah dua wanita yang mahukan kehidupan damai.

Antara selebriti lain yang kembali menjernihkan hubungan yang pernah keruh sebelum ini adalah Ifa Raziah dan Roslan Shah. Rita Rudaini dan Lisdawati serta Rebecca Nur Al Islam dan Erma Fatima.

Jika mahu disenaraikan, masih ramai lagi artis yang bermasam muka sesama sendiri sehingga hari ini termasuklah yang berstatus legenda.

Ada juga dalam kalangan artis berkumpulan yang kini berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Semoga satu masa nanti, kita dapat melihat kesemua selebriti yang bersengketa ini berdamai bukan sahaja untuk ketenangan diri sendiri, namun demi peminat yang setia menyokong dari dulu hingga kini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok