DIUSIK mempunyai hubungan istimewa dengan Zizan Razak sejak terbabit dalam drama berjudul Raya Sebagai Isteri, Hawa Rizwana menganggap gosip sebagai lumrah dunia hiburan.
Menegaskan kedekatan mereka ibarat adik dan abang, kata pengacara popular itu, dia sudah mengenali Zizan sejak terbabit dalam industri penyiaran sekitar 2016.
Apabila digandingkan dalam sebuah drama yang sama, pembabitan tersebut sekali gus menonjolkan keserasian mereka kepada orang luar. Bahkan sikap Zizan yang suka mengusik membuatkan persahabatan mereka tampak intim.
“Boleh dikatakan kami sudah lama berkawan iaitu sejak saya jadi wartawan penyiaran lagi kerana pernah menemu bual dia sebelum ini.
“Kami tiada apa-apa (hubungan) pun, tak lebih daripada rakan. Saya anggap Zizan macam abang dan senior dalam industri seni.
“Kebelakangan ini pula kami kerap dilihat bersama kerana terbabit dalam telefilem sempena Aidilfitri bawah arahan Michael Ang.
“Zizan jenis kuat mengusik dan suka kongsi gambar ketika penggambaran dalam media sosial. Mungkin dari situ orang salah sangka,” katanya yang memegang watak isteri kepada Zizan.
Berkongsi mengenai telefilem tersebut, akui bekas penyampai Buletin Utama itu, dia bertuah dapat menimba ilmu dengan ramai bintang handalan.
Sebagai ‘orang baharu’ dalam dunia lakonan, banyak perkara perlu dipelajari apatah lagi dia tiada pengalaman dalam menjiwai watak dan perwatakan.
“Sebenarnya ini kali pertama saya berlakon dan diberi watak heroin bergandingan dengan Zizan yang menggalas peranan sebagai suami.
“Selepas menjadi pengacara program MeleTOP, saya perlahan-lahan memasuki dunia hiburan dan bidang lakonan masih agak asing buat saya,” katanya lagi.
Menganggap cabang seni terlalu luas, pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27, yakin langkah dalam arena lakonan akan melebar dengan usaha dan kesungguhan.
Baginya, kepercayaan penerbit sebagai amanah yang perlu dipenuhi dengan melakukan persediaan rapi sebelum memasuki set penggambaran.
“Saya semakin jatuh cinta terhadap dunia seni, namun banyak lagi perkara perlu dipelajari bagi menjadi seorang penggiat seni serba boleh.
“Berkenaan soal hati pula, perjalanan saya masih panjang kerana banyak lagi kembara yang perlu saya tempuhi dalam usaha menggapai impian.
“Itu juga antara sebab saya lebih selesa tidak melayan usikan atau gosip kerana meletakkan tanggungjawab terhadap kerja, berbanding peribadi,” jelasnya sekali gus menepis semua gosip.