‘Saya sporting tapi ada hadnya, jangan langgar hukum agama’

AKTOR versatil Zizan Razak akhirnya tampil bersuara dengan meminta orang ramai berpada-pada menyunting fotonya agar tidak melanggar hukum agama.

Menurut Zizan, 42, dia merupakan individu yang tidak kisah dengan gurauan namun kesal apabila ada pihak yang mula melanggar batas dan mencetuskan perdebatan ramai.

“Tujuan hantaran ini adalah untuk meluahkan dan memberitahu saya memang seorang yang ‘sporting’ dan menyeronokkan tetapi ada tahapnya.

“Gambar saya viral beberapa hari ini disunting dan diubah menjadi kelakar.

“Boleh tetapi biarlah berpada-pada dan tidak melanggar hukum agama Islam,” katanya dalam Instagram.

Dia turut menegur segelintir pihak mengenakan bayaran dan mempromosikan produk menerusi hasil suntingan fotonya dalam media sosial.

Bintang utama filem Polis Evo itu bahkan menyifatkan hasil bayaran tersebut haram.

“Ada juga pihak yang mengambil kesempatan bertujuan mempromosikan produk masing-masing tanpa meminta izin.

“Terdapat juga bayaran dikenakan dan pada pendapat saya, secara keseluruhannya perkara itu haram.

“Jadi, renung-renungkanlah jika ingin berniaga secara halal,” katanya lagi.

Terdahulu, wajah Zizan menjadi bualan hangat dalam media sosial khususnya platform Threads apabila ramai menghasilkan ‘meme’ untuk dijadikan bahan jenaka tentang kehidupan seharian.

Namun, keseronokan tersebut mula tergugat apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab menyunting wajahnya dengan memakai pakaian biarawati sekali gus mengundang kemarahan ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok