MEMILIH untuk menetap di Australia, bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada mengakui kehidupannya kini semakin baik meski berada di rantau orang.
Kata Shuhada, 30, sebelum ini dia pernah mempertikaikan tentang nasib dirinya apabila diduga dengan pelbagai masalah hidup termasuk perceraian.
“Dulu saya memang terfikir mengapa Allah berikan saya ujian sebegini, apa salah saya. Tetapi saya bersangka baik dengan Allah dan Allah gantikan kepada saya yang lebih.
Jika dulu hidup bagaimana tetapi sekarang ini Allah berikan saya kualiti hidup yang lebih baik.
“Allah izinkan saya untuk bersama dengan kedua-dua anak dan menetap di sini (Australia). Saya bukan hendak berlagak, tetapi saya hendak kalian semua percaya Allah tidak akan membebankan kita dengan perkara yang kita tidak mampu,” katanya dalam satu siaran langsung TikTok.
Tambah Shuhada, kehidupan yang lebih baik itu bukan bermaksud dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki atau ingin menunjuk kehidupan kini lebih baik berbanding sebelumnya.
Saya katakan Allah akan menggantikan kita dengan yang lebih baik itu bukan bermaksud menggantikan lelaki yang lebih baik. Tidak, saya di sini tiada sesiapa dan tidak bercinta dengan mana-mana lelaki.
“Setiap daripada kita mempunyai ujian hidup masing-masing. Saya juga bukan orang baik dan tidak lari daripada berbuat dosa tetapi paling utama perlu meletakkan Allah sebagai nombor satu, insya-Allah,” katanya.
Awal Ogos lalu, Shuhada memaklumkan dia kini bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.
Malah dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini Shuhada atau nama lengkapnya Nurul Shuhada Mat Shukri mendirikan rumah tangga dengan Hafidz pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.
Pada 27 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu. – HIBGLAM