MENYIFATKAN tuduhan memukul bekas isteri terlalu berat, penyanyi Radhi OAG memilih untuk menyelesaikan dakwaaan itu mengikut undang-undang secepat mungkin.
Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 47, berkata, dia enggan menyelesaikan kes itu di luar mahkamah apabila bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 30 meminta bayaran berjumlah RM300,000 yang dianggap melampau.
Sebenarnya saya tak nak cakap banyak sebab takut jejaskan perbicaraan. Harapan saya mahu selesaikan secara baik hari ini. Tak mahu isu berlarutan panjang.
“Memang dulu dia nak tarik kes dan selesaikan luar mahkamah dengan tetapkan bayaran tertentu. Tapi saya rasa itu bukan jalan yang sebetulnya.
Tuduhan ini terlalu berat, kalau saya buat mesti saya mengaku tapi hakikatnya memang saya tidak lakukan itu seperti didakwa,” katanya kepada HibGlam.
Radhi hadir ke Kompleks Mahkamah Seksyen dan Majistret Petaling Jaya pagi ini bagi prosiding kes pukul bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri.
Ditanya mengenai penjagaan anak, Radhi memaklumkan kedua cahaya matanya berada di bawah jagaannya bekas isterinya.
Kalau mengenai anak, anak bongsu saya Muhammad pada awalnya ada dengan saya, tapi bila kes semua ni dah bermula, dia duduk dengan nenek (ibu Shahira) ,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, Nur Shahira mengesahkan bahawa dia belum menarik semula laporan polis berhubung kes berkenaan berikutan terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan.
Terdahulu, pada prosiding kes 21 Jun tahun lalu, bagi menyelesaikan kes diluar mahkamah Nur Shahira telah meminta bekas suaminya membayar sebanyak RM300,000.
Terdahulu, pelantun lagu Generasiku itu didakwa dengan sengaja mencederakan bekas isterinya pada 19 April 2022 kira-kira pukul 2.29 petang di Kota Damansara, Selangor.
Justeru, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, Radhi kemudian mengaku tidak bersalah di atas pertudahan tersebut.
Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Aisyah,8, dan Muhammad,7. – HIBGLAM