PELAKON Ruhainies tidak akan lagi berdiam diri selepas namanya terus dikaitkan dengan dakwaan kononnya mempunyai hubungan dengan individu kenamaan malah bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
Ujar Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, dia memandang serius tuduhan berkenaan dan tidak teragak-agak membawa perkara itu ke muka pengadilan sekiranya pihak terbabit gagal memberikan penjelasan sewajarnya.
“Kalau perlu sampai naik mahkamah, saya akan teruskan. Saya akan berjuang sehingga pihak terbabit perlu membayar ganti rugi. Kali ini, saya benar-benar akan bertegas.
“Cuba tengok dalam Threads, sudah penuh dengan tuduhan sama susulan hantaran individu berkenaan. Pasukan saya sudah mengambil tangkap layar semuanya. Peguam saya juga sudah menghubungi anda, @weahxx_. Sila berikan maklum balas,” katanya dalam Threads.
Pelakon drama Bintang itu turut memaklumkan sudah menyimpan segala maklumat diperlukan selepas menerima bantuan daripada orang ramai bagi memudahkan proses mengenal pasti pihak terbabit.
“Saya sudah mengarkibkan hantaran terbaharu selepas memperoleh semua maklumat diperlukan. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan ini dengan lebih pantas. Saya benar-benar menghargai bantuan anda.
“Isu dan tuduhan palsu ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Saya tidak tahu siapa yang memulakannya atau dari mana cerita ini berasal. Saya memilih untuk berdiam diri sehingga sekarang kerana merasakan keadaan sudah melampaui batas,” ujarnya.
Tambahnya, dia kesal apabila dakwaan tanpa bukti mula dipercayai dan disebarkan secara meluas sehingga berpotensi menjejaskan reputasinya.
“Orang ramai mula mempercayai dan menyebarkan cerita ini tanpa sebarang bukti, seolah-olah hanya mahu menjatuhkan reputasi saya.
“Harap semua faham bahawa kali ini saya memandang perkara ini dengan sangat serius dan akan meneruskan tindakan sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya.
“Saya benar-benar berharap pihak satu lagi memberikan kerjasama serta mengendalikan perkara ini secara profesional supaya kita dapat menyelesaikannya dengan baik tanpa menimbulkan masalah lain,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah akaun di platform Threads didakwa membuat hantaran mengaitkan Ruhainies dengan seorang individu kenamaan sebagai sugar daddy.
Dakwaan berkenaan kemudian mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk komen berbaur penghinaan dan tuduhan terhadap pelakon itu. – HIBGLAM.

