Perkongsian dimanipulasi, saya petik kitab bukan hadis – Ustaz Don

PENDAKWAH terkenal, Ustaz Don menegaskan berlaku salah faham apabila perkongsiannya dimanipulasi sehingga digugurkan daripada mengendalikan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Salam Baitullah.

Ujar Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Bijayid, topik menghormati guru bukan hadis seperti didakwa segelintir pihak, sebaliknya merupakan petikan kitab tulisan iman Masjidil Haram.

“Mereka mendengar hanya daripada satu pihak sahaja tanpa menyiasat atau memperincikan lebih mendalam hal dibangkitkan dan kemudian situasi dimanipulasi.

Saya tidak sebut saya memetik hadis tetapi kitab tulisan Imam An Nawawi Al Bünyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith Syadah Lubab Al Hadith yang menghuraikan (Syarah) Kitab Lubab Al Hadith.

“Mana mungkin imam ini menulis perkara salah dan saya memetik pula kitab itu yang maksudnya imam tersebut juga didakwa melakukan kesilapan,” katanya pada sidang media di Smoked Kingdom, di sini, malam tadi.

Menurutnya, sepanjang 14 tahun sebagai penceramah ini kali pertama dia membuat pencerahan bagi menjelaskan dakwaan menggunakan hadis lemah dalam program berkenaan.

Bukan kali pertama saya berhadapan situasi seumpama ini tetapi inilah kali pertama saya membuat sidang media untuk menjawab spekulasi.

“Sebagai pendakwah situasi seperti ini adalah perkara biasa bahkan saya anggap ini seperti ini sebagai ujian.

Saya pun tak mahu burukkan mana-mana pihak, saya akur ‘direhatkan’ dan cuma mahu menjelaskan hal sebenar kerana ada yang mendengar sebelah pihak sahaja,” luahnya.

Mengulas lanjut, Ustaz Don berkata apa yang dipetik menerusi kitab tersebut hanya bertujuan menggalakkan masyarakat memuliakan guru.

Semalam saya gunakan perkataan ulama untuk memuliakan guru, jauh daripada apa yang didakwa kerana saya bagi motivasi kepada orang untuk beramal.

“Kita timbulkan penghormatan kepada guru, sambut dengan selawat tetapi manipulasi tercetus sebab hanya sekerat sahaja video dilihat, bukan kesuruhan program berdurasi lebih sejam itu,” katanya.

Pada masa sama, insiden yang berlaku tidak menggugat kredibilitinya malah Ustaz Don juga enggan menyimpan dendam.

Tiada rasa kecewa, saya maafkan semua orang. Malu saya kepada Imam Syafie kerana Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya terpenjara, (dugaan) saya kecil sahaja,” luahnya.

Petang tadi Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman membuat pengumuman mengejutkan apabila program yang berbaki empat episod itu tidak lagi menampilkan pendakwah terbabit.

Ini susulan dakwaan mengatakan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah, malam kelmarin.

Sebelum ini, pengacara berusia 40 tahun itu direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Salam Baitullah merupakan program terbitan RTM yang bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula pada 2 hingga 17 Jun 2024.

Tahun ini, 17 episod rancangan Salam Baitullah disiarkan secara langsung di TV1, Saluran Berita – 123 MyTV dan RTMKlik selama satu jam 30 minit mulai pukul 9 hingga 10.30 malam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok