PELANCARAN program Quranic Madani yang digerakkan pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris atau PU Riz terus menerima sambutan positif apabila lokasi pertama program itu berjaya dilaksanakan di rumah kebajikan, Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Program berteraskan pengajaran al-Quran dan tajwid terbabit menghimpunkan penghuni rumah kebajikan itu yang juga golongan asnaf dan kurang berkemampuan dalam usaha memperkukuhkan kefahaman serta bacaan al-Quran sejak usia muda.
PU Riz menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu usaha murni yang wajar diperluaskan ke seluruh negara.
“Alhamdulillah, hari ini kita akan mulakan sesi Quranic Madani ataupun sesi pengajaran al-Quran dan tajwid di Rumah Titian Kaseh ini. Bermula dengan anak-anak sekecil 8 tahun sampailah belasan tahun yang ada dalam kelas.

Program Quranic Madani yang digerakkan pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris atau PU Riz terus menerima sambutan positif apabila lokasi pertama program itu berjaya dilaksanakan di rumah kebajikan, Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur.
Secara keseluruhan, alhamdulillah sesi baik. Semua dapat manfaat,” katanya.
Menurut PU Riz, program tersebut juga seiring dengan usaha yang dilaksanakan pihak Kementerian Agama terutama menterinya, Dr. Zulkifli Hasan dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan, khususnya menerusi sokongan pendidikan agama dan kebajikan.
“Dan ini juga seiring dengan apa yang dilakukan oleh Kementerian Agama yang menyalurkan bantuan kepada asnaf-asnaf yang juga berada di sini. Kita ucapkan tahniah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, PU Riz berharap Quranic Madani dapat menjadi platform berterusan dalam melahirkan masyarakat yang celik al-Quran dan mampu membaca kitab suci itu dengan baik serta bertajwid.
“Alhamdulillah atas usaha ini, semoga semua orang di Kuala Lumpur, di seluruh Malaysia dapat belajar al-Quran dan membaca al-Quran dengan baik. Allahuakbar,” tambah PU Riz.
Program Quranic Madani dijangka akan diperluaskan ke beberapa lagi lokasi selepas ini sebagai usaha mendekati masyarakat dan memastikan pendidikan al-Quran dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. – HIBGLAM
