Kekok digelar datin, rasa kerdil – Atikah Suhaime

KEKOK sebab rasa diri tak layak.”

Demikian kata pelakon Atikah Suhaime yang mengakui masih kekok untuk membiasakan diri dengan gelaran datin selepas berkahwin dengan usahawan, Datuk Lokman Teh.

Mengerti status dibawa terlalu besar, Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 33, berkata, dirinya terlalu kerdil untuk menggunakan gelaran tersebut.

“Sejujurnya buat masa sekarang memang masih ada rasa sedikit kekok sebab itu satu gelaran yang bukan semua orang boleh dapat.

Suami kita pula sudah capai pelbagai kejayaan dalam karier sehingga layak dapat gelaran datuk, jadi saya rasa tak setaraf dengannya.

“Apatah lagi saya pula asal Singapura, ramai lagi orang Malaysia yang lebih layak untuk dapat gelaran itu,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Pun begitu, pelakon filem Tantiana itu menganggap status itu sebagai motivasi buat dirinya untuk berbakti kepada masyarakat.

Saya masih lagi sesuaikan diri, panggilan ini buat saya lebih bersemangat untuk memberi sesuatu semula kepada orang lain.

“Saya pun kena kejar (kejayaan) suami saya, jadi agak sedikit tertekan di situ,” ujarnya.

Berbeza pandangan dalam bidang perniagaan pula, Atikah mengakui panggilan tersebut sangat penting apabila memberi impak yang berlainan.

“Kalau dengan kawan-kawan tak payah pun panggil datin tapi kalau dalam soal kerja, saya rasa panggilan itu perlu.

“Sebab saya ada pengalaman terutama bab perniagaan, mereka lihat saya macam budak dan tidak tahu apa-apa.

“Tapi apabila ada yang panggil datin terus pandangan mereka berubah. Dari segi kerja itu penting untuk dapatkan rasa hormat itu,” dedahnya.

Atikah sah bergelar isteri Lokman yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif produk tempatan terkemuka, Zaitun pada Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok