The Gadys kena kuatkan perut, pergi balas dendam – Aina Abdul

PENYANYI Aina Abdul menasihati kumpulan The Gadys agar menggunakan kecaman sebagai batu loncatan menjual bakat untuk lebih dikenali umum.

Kata Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 39, cara tersebut boleh membakar semula semangat kepada ketiga-tiga ahli kumpulan wanita terbabit untuk kembali bangkit.

“Ini adalah masa tepat untuk ‘balas dendam’ yang bermaksud anda hentam saya, saya pergi ke kelas vokal. Banyak cara yang boleh kita ‘counter back’ (balas balik).

“Saya percaya ini juga publisiti yang baik untuk mereka, kadang-kadang sebab benda kecil ini buat orang kenal kita.

“Saya harap tip ini dapat bagi semangat serta jangan rasa sedih sebab sekurang-kurangnya mereka berani menyanyi di atas pentas. Tukang hentam belum tahu lagi menyanyi macam mana,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai berkenaan video tular yang menyerlahkan kekurangan kumpulan terbabit, Aina berharap The Gadys memperbaiki kelemahan dengan memasuki kelas vokal.

“Saya rasa tiada masalah ketara bila tengok video tersebut sehingga nampak mereka tak boleh menyanyi tetapi kena gilap lagi dan kena kuatkan perut.

“Jadi, masuk kelas vokal dan gilap bakat, kuatkan perut anda, insya-Allah boleh. Saya doakan yang baik-baik dan sikit sahaja lagi kena gilap,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu berharap The Gadys menerima teguran dan komen jujur dengan hati terbuka supaya dapat berubah ke arah lebih baik.

“Kadang-kadang dalam industri perlukan mereka yang jujur dengan kita. Macam saya, habis sahaja persembahan atau ketika berlatih saya akan tanya pasukan saya sama ada okey atau tidak.

“Kita sebagai orang seni ingatkan apa yang kita buat ini betul, terlalu seronok sehingga lupa nyanyian kita ke mana-mana hala.

“Jadi penting untuk kita ada pasukan yang akan bercakap jujur walaupun pahit supaya kita tak syok sendiri,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, The Gadys tular selepas video persembahan lagu medley termasuk Cinta Sampai Mati serta Gadis dan Bunga di Anugerah KNKV Viral 2024 mengundang kecaman hebat.

Wakil pengurusan memaklumkan ketiga-tiga anggota kumpulan terbabit iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan berdepan dengan kesilapan teknikal yang menjadi salah satu faktor yang mengganggu persembahan pada hari berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok