LEBIH dua dekad berkarya, akres versatil Sharifah Amani, 37, kini cenderung membawakan watak yang mengangkat martabat wanita.
Mesra membahasakan diri Nani, pemilik nama sebenar Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya itu mahu karakter yang dihidupkan mencipta ruang selamat bagi golongan wanita.
Kata anak kedua kepada pelakon veteran Fatimah Abu Bakar itu, watak sebegitu mampu menjadi suara memperkasakan wanita berdepan pelbagai isu, termasuk keganasan rumah tangga.
“Sudah beberapa kali saya berkerja untuk naskhah yang mengangkat peranan wanita. Terbaharu menerusi filem La Luna arahan pengarah, M. Raihan Halim yang mengisahkan tentang seorang wanita bandar bernama Hanie.
“Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia, saya percaya kedudukan wanita tidak dipandang dengan selamat.
“Setiap hari ada sahaja kes-kes keganasan rumah tangga dilaporkan dan mangsanya pula adalah wanita yang selalu akan dipersalahkan,” jelas Nani.
Berbeza dengan golongan lelaki yang selalu diangkat sebagai ‘superhero’, Nani berharap pembabitannya dalam naskhah yang mengangkat golongan wanita mampu menjadi suara, sekali gus didengari masyarakat.
“Kalau ada rezeki lagi untuk terbabit dalam filem yang mengangkat darjat wanita, insya-Allah saya akan lakukan,” tegasnya.
Menyentuh kehidupan peribadinya selepas setahun bergelar isteri, Nani tersenyum malu, namun terlihat kebahagiaan yang tidak dapat disembunyikan.
Sepanjang setahun bergelar isteri, Nani mengakui mempelajari banyak perkara baharu dan masih belajar untuk bergelar isteri terbaik kepada suaminya, Ahmed Faris.
“Alhamdulillah, saya melalui fasa bahagia ketika ini. Ada banyak perkara yang saya belajar dalam rumah tangga.
“Saya menganggap perkahwinan adalah suatu perkara yang mengagumkan. Dialah imam saya, suami saya, kawan saya. Walaupun ada cabarannya, tapi perkara itu menyeronokkan,” kata Nani.
Disoal perkara menarik mengenai si suami, Nani berkata banyak yang disukainya tentang lelaki itu.
“Saya suka semua benda tentang suami. Dia kelakar dan bijak. Dia juga seorang pendebat yang baik.
“Suami selalu tenangkan saya dalam banyak perkara yang berlaku di seluruh dunia,” jelasnya.