TIDAK berselindung, pelakon Aniq Suhair mengakui penyanyi dan pengacara Azeva Natassha memiliki hampir semua ciri wanita idamannya yang disifatkan cukup sempurna untuk dijadikan isteri.
Ujar Aniq atau nama sebenarnya Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 26, dia selesa berkawan dengan Azeva kerana personalitinya penuh aura positif selain mempunyai bahasa cinta berteraskan ‘act of service’ dan perhatian terhadap insan di sekeliling.
Ya, dia memang ada ciri-ciri wanita yang saya suka. Dia sangat wifey material. Antara perkara yang membuatkan saya selesa ialah love language dia lebih kepada act of service, selain sentiasa membawa aura positif apabila bersama.
“Sejujurnya kami sudah kenal lama sejak penggambaran telefilem pertama bersama di Perlis dahulu,” katanya kepada HibGlam.
Bekas finalis Hero Remaja 2020 itu turut meluahkan rasa bangga melihat perkembangan kerjaya Azeva, terutama selepas berjaya mengembangkan bakat sebagai pengacara.
“Saya sangat bangga dengan perkembangan dia. Alhamdulillah, itu rezeki dia dan apa yang ayah serta ibunya impikan. Saya sentiasa menyokong dari belakang.
Dulu dia seorang yang sangat introvert dan lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Tetapi sekarang, dia sudah mampu menjadi hos.
“Saya sendiri pun belum tentu boleh buat kerja mengacara kerana saya juga seorang yang introvert,” ujarnya pada sidang media drama Ate Kome, I Love You, baru-baru ini.
Mengulas peminat sering menjodohkan mereka, Aniq menganggap perkara tersebut sebagai tanda gandingan lakonan mereka berjaya menyentuh hati penonton.
Kalau orang ship kami, maknanya lakonan kami menjadi. Keserasian itu sampai kepada penonton.
“Jadi, kalau ada rezeki untuk bekerjasa lagi pada masa hadapan, kami tidak akan rasa kekok,” jelasnya.
Ditanya mengenai fenomena cinta lokasi, Aniq tidak menafikan perkara tersebut sememangnya boleh berlaku dalam dunia lakonan, namun percaya setiap pelakon perlu tahu meletakkan batas.
“Cinta lokasi memang wujud. Ada kalanya perkara itu sengaja diwujudkan supaya keserasian di skrin nampak lebih realistik.
Namun bagi saya, apabila selesai penggambaran, kita perlu kekal profesional.
“Perasaan itu mungkin hadir secara tiba-tiba ketika bekerja, tetapi kita perlu meletakkan sempadan. Bukan untuk saya sahaja, tetapi buat semua orang dalam kerjaya ini,” ungkapnya.
Sebelum ini, Aniq dan Azeva pernah digandingkan menerusi telefilem Bos Nak Cuti arahan Zul Huzaimy, malah keserasian mereka turut mencetuskan pelbagai reaksi positif dalam kalangan peminat.
Dalam perkembangan lain, Aniq kini membintangi drama romantik komedi Ate Kome, I Love You bersama Bella Dowanna dan Nurel Baharin yang sedang ditayangkan menerusi platform penstriman Viu. – HIBGLAM
