PASANGAN pengantin otai, Sabri Yunus dan Angeline Tan sama sekali tidak menyangka rezeki perkahwinan sehebat apa yang diterima sehingga kini.
Diraikan dengan tiga buah majlis persandingan yang mendapat tajaan sepenuhnya sememangnya tidak masuk akal untuk dilalui selebriti senior seperti mereka.
Bahkan dalam majlis persandingan ketiga yang berlangsung di Rose Hall, Glo Mall Damansara baru-baru ini, Angeline ataupun nama Islamnya Ardini Angeline Tan turut berpeluang mengayakan gaun kembang berona putih bernilai RM100,000 rekaan Anas Abdullah.
Saya seakan-akan tidak percaya dan tidak terfikir berpeluang mengayakan gaun seperti ini, bagai dalam mimpi. Ini kerana, saya seorang yang sangat ringkas.
“Kami juga tidak pernah merancang dan tidak pernah terfikir pun hendak melangsungkan persandingan besar-besaran. Saya berasa sangat bersyukur apabila ada pihak buat majlis untuk kami,” ujar Angeline.
Ditebak tentang deretan majlis persandingan yang telah berlangsung sejak mereka bernikah pada 14 Oktober lalu, Sabri hanya ketawa panjang.
Namun, dedah lelaki berusia 62 tahun itu, masih ada empat tawaran tajaan majlis persandingan yang dalam pertimbangannya.
Ini persandingan kali ketiga, memang ada lagi tawaran tajaan persandingan, tetapi saya masih berfikir dan mahu lihat jadual kerja terlebih dahulu.
“Rasanya sudah banyak kali saya bersanding (ketawa). Saya harap kalau ada lagi majlis persandingan, saya lebih suka majlis dibuat untuk kelompok kecil.
Jujur, saya tidak pernah sangka akan diraikan seperti ini tetapi kami pernah bergurau jika kami berkahwin pasti ramai orang akan mendoakan kami,” tuturnya.
Saat disoal, sudahkah pelakon dan pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei itu membiasakan diri dengan rutin sebagai suami selepas 16 tahun menduda, semakin panjang ketawanya.
“Sebenarnya sehingga ke hari ini kami bukan melayari bahtera perkahwinan, sebaliknya kami melayari suasana sebegini.
“Sibuk ke stesen radio dan sesi fotografi bersama media serta sesi temu bual perkara-perkara ini rasanya belum berhenti lagi,” kata Sabri.