Pablo tak boleh beli kuih sebab jahat sangat!

“MAK CIK tak mahu jual kuih pada awak sebab jahat sangat dalam televisyen.”

Dialog itu yang masih terngiang-ngiang dalam kotak ingatan pelakon, Pablo Amirul apabila seorang peniaga wanita di Terengganu enggan menjual kuih-muihnya kerana terlalu membenci watak antagonis lakonan aktor itu.

Tidak terasa hati apatah lagi memarahi tindakan spontan itu, Pablo seterusnya meminta pengurusnya memborong kesemua kuih-muih yang dijual oleh wanita tersebut.

“Dia tak mahu langsung jual kuih pada saya sebab terbawa-bawa dengan kebencian terhadap watak saya dalam drama.

“Jadi, saya minta pengurus borong semuanya dan berikan ucapan terakhir iaitu ‘mak cik, orang jahat tadi yang beli semua kuih ini,” katanya kepada HibGlam yang ditemui selepas tayangan gala filem Budak Flat di sini, baru-baru ini.

Selain tidak terasa hati, Pablo juga menolak untuk menyimpan rasa dendam terhadap mana-mana individu yang membencinya.

Sebaliknya, dia gembira apabila karakter antagonisnya berjaya mewujudkan rasa kebencian dalam kalangan penonton.

“Namun, itulah namaya penonton. Ada sesetengah percaya lakonan kami satu perkara yang benar-benar terjadi dan sebaliknya.

“Sebenarnya saya gembira juga apabila wujud situasi sebegitu sekaligus membuktikan lakonan sebagai orang jahat selama ini berjaya meninggalkan impak.

“Ingin saya tegaskan, saya sebenarnya bukan orang begitu pun (lelaki kejam),” ujarnya.

Menerusi filem Budak Flat terbitan Prime Video, Pablo sekali lagi menjayakan karakter antagonis sebagai Riz disamping Nabila Huda dan Zahiril Adzim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok