Jaga emosi, Sharifah Sakinah ‘rehat’ media sosial

“Saya tidak akan aktif dalam media sosial sehingga 26 November.”

Demikian perkongsian pelakon, Sharifah Sakinah yang memilih untuk berehat daripada dunia media sosial sehingga akhir bulan ini.

Kata pemilik nama penuh Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu, keputusan tersebut dilakukan kerana hatinya rapuh melihat keadaan dunia yang ketika ini sangat menyedihkan selain melindungi emosi daripada terus terganggu

“Dalam tempoh berdiam diri, saya akan mengasingkan diri daripada sebarang berita dan apa sahaja media.

“Sangat menyayat hati apabila melihat keadaan dunia ketika ini.

“Menjaga emosi menjadi keutamaan saya dan tanpa henti menitipkan doa kepada semua yang terjejas disebabkan peperangan serta ketamakan manusia,” katanya dalam Instagram semalam.

Dalam masa sama, bintang drama Kau Yang Ku Gelar Isteri itu turut menegaskan tidak akan menerima sebarang tawaran kerja atau jenama yang menyokong  Israel.

“Kepada keluarga dan rakan-rakan, jangan risau. Anda tahu di mana untuk mencari saya.

“Untuk sebarang urusan kerja boleh e-mel tetapi bukan produk pelangsingan, pemutihan atau sebarang jenama yang menyokong peperangan serta pemanasan global,” katanya lagi.

Sakinah bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci sama ada keputusan berehat tersebut berkaitan perang di Gaza, Palestin yang sudah mengorbankan lebih 11,000 nyawa atau sebaliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok