Aina mahu abadikan koleksi baju pelik dalam galeri

PERCAYA busana miliknya mempunyai nilai sentimental, penyanyi Aina Abdul berhasart membuka galeri bagi mempamerkan pakaian pernah digayakannya.

Menurut Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, semua baju itu tidak diusik atau dibaiki selain berada dalam keadaan seperti kali terakhir dia menggayakannya.

“Semua baju yang saya pakai di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan  Anugerah Bintang Popular (ABP) memang saya tak akan sentuh.

“Macam mana saya pakai, macam itulah saya tinggalkan baju itu. Begitulah keadaannya. Bagi saya, semua baju itu ada nilai sentimental.

“Saya turut merancang untuk buka galeri pakaian. Sudah berhabis ratusan ribu untuk baju, jadi tak salah  untuk kita buat duit satu hari nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Imaji itu, dia juga memutuskan untuk tidak mencuci lebih 200 koleksi pakaian bagi mengekalkan mood asal.

“Rasanya dalam simpanan ada lebih 200 pasang baju. Saya tak akan jual  sebab itu kenangan dan kesemuanya tak dicuci kerana mahu kekalkan nilai sentimentalnya. Bagi saya, semua itu ‘hidup’.

“Ada sebahagiannya dalam simpanan penata gaya, Abu dan separuh lagi dalam simpanan saya. Secara keseluruhannya semua pakaian yang kami letakkan di Axiata Arena tempoh hari ada lebih 100 pasang.

“Semua koleksi itu adalah dari awal kemunculan fesyen pelik saya di kaca televisyen termasuklah gaun berdarah yang saya pakai di AJL34,” ujarnya.

Sebelum ini, busana yang digayakan Aina pada konsert mega A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena meraih pujian ramai apabila berani mengetengahkan tema sains dan teknologi.

Ramai berpendapat penyanyi kelahiran Johor itu bijak mempromosikan dirinya dan tidak hanya bersandarkan kekuatan vokal semata-mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok