SUBANG JAYA – Suami kepada penyanyi Rohana Jalil, Jahangir Khan menafikan pembedahan bariatrik atau kaedah klinikal mengatasi masalah berat badan berlebihan atau penyakit gastrik sebagai pencetus kepada masalah kebocoran usus.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri pakar yang merawat isterinya sebagai penjelasan mengelakkan salah faham.
“Saya pun baru dengar ada desas-desus mengaitkan kemungkinan masalah usus bocor ada kaitan dengan prosedur bariatrik.
“Tetapi doktor sudah sahkan, keadaan kesihatan Allahyarham isteri saya tiada kaitan dengan prosedur tersebut,” katanya kepada
Kosmo! Online.
Maklum balas ini dinyatakan sebagai reaksi ada dia ralat dengan dakwaan yang mengaitkan isu kesihatan Rohana berpunca daripada prosedur yang dilakukan sebelum ini.
“Mungkin ada sedikit dari situ (isu kesihatan). Sebenarnya saya pun baru tahu mengenai ini (pembedahan bariatrik) dan Allahyarham juga barangkali fikir badannya semakin kurus kerana prosedur berkenaan.
“Saya perasan Syawal tahun lalu fizikalnya semakin susut, tetapi dia enggan ke hospital sebab rasa berat badan turun kerana bariatrik sampailah mula sakit perut, baru-baru ini,” tambahnya.
Pesara polis berusia 66 tahun itu turut mengiringi perjalanan akhir teman hidup yang dikahwini sejak 40 tahun lalu itu di Tanah Perkuburan Islam USJ22, pagi tadi.
Allahyarham Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil, 66, menghembuskan nafas terakhir di
Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pukul 11.33 malam tadi.
Sejak dua bulan lalu Juara Bintang RTM 1980 itu dimasukkan ke hospital berikutan sakit perut dan didapati berdepan masalah usus bocor
Namun tahap kesihatannya semakin merudum semalam sehingga tidak sedarkan diri kesan daripada jangkitan kuman pada beberapa organ dalaman.
Sementara itu, mengenai sambutan hari raya Haji pada minggu depan, akui Jahangir, perkara tersebut tidak difikirkan apatah lagi sebelum itu tumpuan mereka sekeluarga hanya terhadap Allahyarham.
“Sepanjang Aidilfitri baru-baru ini saya dan anak-anak berkampung di hospital saja bersama arwah, malah dua bulan di sisinya saya tak fikir pasal beraya atau apa.
“Memang sedih kehilangan isteri terbaik, tetapi saya reda. Cuma saya masih terbayang-bayang senyumannya dan terngiang-ngiang suara dia bercerita,” kongsinya yang sudah bersara sejak enam tahun lalu.
Menerusi perkahwinan selama empat dekad itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata termasuk Kilafairy yang mengikut jejak langkah ibunya terjun ke arena seni. – HIBGLAM