Menanggung sengsara sendiri, pelakon dan penyanyi Andi Bernadee mendedahkan mengalami kemurungan selepas menjadi mangsa sihir sekitar awal tahun 2021.
Menurut Andi, 32, gangguan sihir dialami memberi impak besar terhadap hidupnya termasuk menjejaskan kesihatan mental dan perjalanan kerjaya seninya.
“Tentang gangguan sihir sebelum ini memang beri banyak perubahan kepada hidup saya sehingga hari ini.
“Antara impaknya ialah saya sukar hendak hafal skrip apabila masuk ke set penggambaran. Seperti hilang daya ingatan singkat, susah sangat nak masuk dalam kepala.
“Disebabkan itu, banyak tawaran lakonan dan persembahan perlu ditolak,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu rayanya bersama Ryan Bakery berjudul Raya Last Minit, di sini semalam.
Tidak pernah berputus asa untuk menjadi individu seceria dahulu, pelantun lagu Donde berkenaan mencari titik ketenangan dengan percutian atau dianggapnya sebagai proses healing (sembuh).
Selain itu, dia juga nekad untuk menjauhkan diri daripada keserabutan dunia media sosial bagi menjaga kesihatan mental.
“Setahun lebih berehat daripada aktiviti seni dan selama tempoh berdiam diri, saya ada juga bercuti ke Jepun mencari ketenangan selain masih berusaha dengan perubatan alternatif bagi memulihkan diri.
“Tentang tahap pulih, saya rasa sekitar 60 peratus.
“Selain itu, saya rasa tenang selepas ‘lari’ daripada media sosial yang ketika ini sangat jahat, mereka pertikaikan banyak benda termasuk tentang penampilan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andi juga bersyukur kerana dikelilingi individu yang sentiasa berada di sisinya pada waktu getir.
“Alhamdulillah orang di sekeliling saya sangat membantu dan banyak beri motivasi.
“Kalau boleh tak mahu tunjuk keadaan yang teruk di depan ibu tetapi sorok macam mana pun, dia tahu juga,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada Februari 2021, Andi atau nama penuhnya Andi Azrul Mapangile dilaporkan menjadi mangsa ilmu hitam sehingga menjejaskan kesihatannya.
Antara kejadian ngeri berlaku kepadanya ialah paku karat yang ditarik daripada tekaknya dan katak kering ditemui di atas bumbung rumah.