PEREKA fesyen duo terkenal tanah air, Rizman Ruzaini gembira dan bangga apabila busana rekaan mereka telah diperagakan oleh supermodel terkenal dunia, Naomi Campbell di acara Minggu Fesyen Dubai, semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik Rizman Ruzaini dalam Instagram miliknya, pereka fesyen itu menganggap impiannya seperti menjadi kenyataan apabila rekaan mereka telah digayakan oleh seorang model ternama antarabangsa itu.
“Ini adalah impian setiap pereka fesyen untuk melihat hasil rekaan mereka digayakan oleh supermodel terkenal. Apabila impian itu menjadi realiti, kami berasa sangat gembira,” katanya.
Pada masa sama, pereka fesyen yang telah banyak bekerjasama dengan artis-artis terkenal negara itu menyifatkan model berusia 58 tahun itu sebagai ikon yang memiliki magis dan aura tersendiri.
“Dia (Naomi) adalah wanita yang diidamkan dunia. Apabila berjalan di pentas peragaan, dia memiliki auranya tersendiri,” ujar pereka duo itu.
Difahamkan, Rizman Ruzaini yang kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu terbabit dalam Minggu Fesyen Dubai (Dubai Fesyen Week) dan diberikan penghormatan untuk menjadi ‘penutup’ dalam acara berprestij itu. – HIBGLAM