Malam galau bersama Setia Band

GALAU dan syahdu. Demikian istilah tepat sebagai gambaran persembahan ikonik Setia Band menerusi Konsert Setia Band: 20 Tahun Charly Berkarya yang menghimpunkan lebih 2,000 peminat baru-baru ini.

Gelanggang Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi persembahan cemerlang susuk bersuara merdu disambut sorak peminat sebaik angkatan pemuzik dari Indonesia itu menguasai pentas.

Tepat pukul 8.30 malam, kemunculan vokalisnya, Charly van Houten diiringi barisan kumpulan Setia Band disambut jeritan penonton yang lama mendambakan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka itu.

Tampil sederhana, barisan kumpulan asal Bandung itu hanya mengenakan dua persalinan pakaian sepanjang konsert, malah vokalisnya Charly santai menggayakan jaket tiga rona warna diacu bersama baju-T dan bercelana jeans.

Konsert berdurasi dua jam tersebut langsung tidak menghadir rasa bosan atau ada audiens tiba-tiba menguap tanda mengantuk. Muda-mudi terutama peminat wanita mudah tidak keruan apabila vokalis tampan itu memberi salam tanda memulakan persembahan.

SUARA vokalis Setia Band, Charly seperti tidak pernah terusik dek zaman. Kelunakan dan lenggok vokalnya tetap ampuh dan berbisa seperti awal kemunculannya dulu.

Khalayak maklum, rantaian lagu hits kumpulan dibarisi empat lelaki berbakat itu pasti membawa mereka ke terowong masa seiring imbasan semula kisah cinta yang mungkin pernah mekar berlatarkan lagu tersebut.

Antara repertoire persembahan adalah Jangan Pernah Berubah, Aku Terjatuh dan Aku Masih Sayang diikuti dengan lagu yang membuat sekitar 2,000 penonton melompat dan menari seperti Istana Bintang, Biarkan Aku Jatuh Cinta dan Terlalu.

Charly melantunkan lebih 15 dendangan termasuk lagu hitsnya bersama kumpulan terdahulu iaitu ST12 yang pernah menjadi siulan bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air.

Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan lagi dengan istimewa khas buat rakyat Malaysia menerusi lagu daripada kumpulan Search, Slam dan Iklim iaitu Isabella, Gerimis Mengundang dan Bukan Ku Tak Sudi.

Bayangkan, penonton yang sedang khayal dibuai seleksi ‘healing’ itu kembali berteriak sebaik si vokalis tampan itu mula membuka mulut menyanyikan lagu popular penyanyi legenda tempatan, sekali gus menghangatkan malam penuh nostalgia tersebut.

Kata Charly, tidak lengkap persembahannya tanpa menghadiahkan sebuah lagu malar segar asal Malaysia yang juga alunan kegemaran rakyat Indonesia.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok